Penjawat awam ditipu Macau Scam

in Edisi by


KUANTAN – Kerana bimbang akan dipenjarakan kerana tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST), seorang penjawat awam rugi RM7,200 akibat ditipu sindiket Macau Scam,semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 30 tahun itu mengikut arahan yang diberikan, sebaik sahaja dihubungi lelaki yang menyamar sebagai pegawai kastam.


Menurutnya, suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan GST ke atas satu kontena susu tepung yang ditahan di ‘checkpoint’ Bukit Kayu Hitam, kedah bernilai RM53,029.56.


“Mangsa nafikan perkara  itu, namun ia disambungkan kepada kepada pihak polis. Malah, ‘anggota polis’ yang bercakap dengan mangsa turut mendakwa perkara yang sama. Disebabkan mangsa takut akan dipenjarakan dia bertindak mengikut arahan daripada suspek,” katanya ketika dalam satu kenyataan hari ini.


Mohd Wazir memaklumkan, mangsa diberi pilihan sama ada pembekuan aset atau dipenjara selama 45 hari atas kesalahan berkenaan.


“Mangsa memilih untuk pembekuan aset dan anggota polis memintanya memindahkan kesemua wang ke akaun yang diberikan.


“Pada hari yang sama, kira-kira jam 4.58 petang, mangsa memindahkan wang sebanyak RM7,200 ke dalam akaun Agro Bank yang diberikan oleh suspek melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Balok,” katanya.


Jelasnya, selepas wanita berkenaan membuat pindahan wang, dia sedar sudah tertipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.


“Kita dapat lihat modus operandi sindiket ini adalah menyamar sebagai pegawai kastam dan memperdaya mangsa dengan mengugut untuk membeku akaun bank sehingga mendorongnya memasukkan wang ke dalam akaun suspek,” katanya.


Siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dalam kes berlainan, Mohd Wazir berkata, seorang pemandu foklif mengalami kerugian RM4,700 selepas ditipu sebuah syarikat pinjaman yang tidak wujud.


Mangsa berusia 29 tahun itu, mula melihat satu iklan pinjaman wang di Facebook dan berminat untuk membuat pinjaman, pada 22 Mac lalu,


Menurutnya, mangsa kemudian menghantar mesej kepada seorang ejen syarikat SGV Credit Sdn Bhd.


“Saya difahamkan mangsa telah berhubung dengan seorang lelaki dan memberitahu ingin membuat pinjaman sebanyak RM20,000. Untuk tujuan itu, mangsa diminta memasukkan duit sebanyak RM560 untuk tujuan perjanjian pinjaman.


“Selang beberapa hari kemudian, mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam satu akaun CIMB yang diberikan oleh suspek berkenaan di CIMB Mentakab, Temerloh,” katanya.


Mohd Wazir berkata, selang beberapa hari, mangsa memasukkan duit sebanyak RM760 untuk tujuan peguam di dalam akuan CIMB yang sama sebelum memindahkan lagi RM380 sebagai insurans.


Bagaimanapun, katanya, pada Selasa lalu mangsa sekali lagi memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam akaun yang sama untuk tujuan proses membuka akaun pinjaman.


“Pada keesokan harinya, suspek berkenaan meminta mangsa sebanyak RM1,400 untuk ‘stamp duty’, namun mangsa tidak memasukkannya kerana berasa ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini, semalam.


“Jumlah keseluruhan wang yang mangsa masukkan ke dalam akaun berkenaan kira-kira RM4700 dan sehingga ke hari ini duit pinjaman berkenaan tidak diberi kepada mangsa,” katanya.


Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Pihaknya kini sedang memburu suspek yang terbabit termasuk pemilik nombor akuan yang dipindahkan wang oleh mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kerugian.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]