Promosi Jejak Warisan Taiping

in Edisi by


TAIPING – CycleDios Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping (MPT) berjaya mewujudkan Sistem Perkongsian Basikal CycleDios di sekitar Bandar Warisan Taiping bersesuaian dengan nilai sejarah, budaya serta kelebihan dalam produk eko-pelancongannya.


Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim berkata, sistem tersebut julung kali diadakan di Perak selepas beberapa lokasi lain di negara ini seperti Putrajaya dan Pulau Pinang melaksanakannya.


Menurutnya, jalinan kerjasama selama tujuh tahun antara kedua-dua pihak ini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara selain dapat terus giat mempromosikan produk-produk Jejak Warisan yang ada.


“Pengguna boleh menyewa dan memulangkan kembali basikal tersebut ke 27 stesen yang disediakan.


“Stesen-stesen ini juga meliputi laluan di Jejak Warisan Taiping iaitu dalam lingkungan 15 km,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Perkongsian Basikal CycleDios di Stesen FMS Taman Tasik Taiping, baru-baru ini.


Tambah Borhan, selain dengan kehadiran Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 pada September nanti, Taiping juga bakal menjadi tuan rumah bagi acara berbasikal luar velodrom.


“Produk pelancongan terbaru ini juga diharap dapat meningkatkan lagi budaya berbasikal dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Pegawai Perhubungan CycleDios Berhad, Camees Foong berkata, dengan adanya kemudahan sewaan basikal tersebut ia dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara di sekitar bandar ini.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]