Rumah penyelia ladang terbakar

in Edisi Pahang by


JERANTUT – Sebuah rumah dipercayai didiami penyelia ladang di Felda Kota Gelanggi 5 dan 6 terbakar dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.09 petang hari ini.


Penolong Penguasa Bomba Cawangan Penyiasatan Kebakaran Zon 2 Pahang, Mohd Arshad Abdullah berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian yang terletak 44 kilometer dari bandar sekitar jam 2.42 petang.


Menurutnya, sekitar 30 peratus bahagian ruang tamu dan bilik rumah didiami Mohd Izmal Azlisyam Zulkifli, 31, terbakar dalam kejadian itu.


Tambahnya, api kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar 12 minit kemudian dengan bantuan sebuah jentera dan tujuh anggota.


“Berlaku kebakaran melibatkan sebuah jenis separuh kekal di mana tindakan awal operasi telah dilakukan oleh PKK Gelanggi 5 dan 6 seramai enam orang dan orang awam dengan membentang satu aliran hose 300 kaki air dari pili dan 12 unit alat pemadam api debu kering,” katanya.


Menurutnya lagi, bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.


“Siasatan lanjut akan dijalankan berkaitan kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]