Seladang kecundang di Shah Alam

in Sukan by


PKNS FC bermula langkah kanan apabila menewaskan Perak 2-1 dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Shah Alam sebentar tadi.


Perak yang hadir dengan kesebelasan terbaik malam ini dilihat bergelut untuk mencari penyudah meski pun memperoleh beberapa peluang terbaik di hadapan gol.


Sebaliknya, tuan rumah, PKNS FC yang lebih pasif berjaya memanfaatkan sepenuhnya peluang dengan menjaringkan dua gol menerusi Faris Ramli pada minit ke-25 dan Safee Sali tiga minit sebelum tamat perlawanan.


Gol saguhati Perak hadir di masa kecederaan apabila pengadil menghadiahkan penalti dan ianya telah disempurnakan oleh Wander Luiz.


Antara rangkuman menarik perlawanan ini menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi agak seimbang untuk tempoh 20 minit pertama perlawanan.


Bagaimanapun, tuan rumah berjaya memanfaatkan kesilapan pelawat untuk mendahului pada minit ke-25 menerusi pemain sayapnya, Faris Ramli.


Tersentak dengan gol tersebut, The Bos Gaurus mula memperkemaskan permainan dan melakukan asakan untuk mencari gol penyamaan. Bagaimanapun ketumpulan serangan menafikan beberapa percubaan berbahaya mereka ke kubu tuan rumah.


Sesekali, PKNS juga memperoleh peluang untuk menambah jaringan, namun penjaga gol Perak, Hafizul Hakim bertindak cemerlang untuk menafikan beberapa percubaan.


Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Perak hampir menyamakan kedudukan menerusi satu percubaan deras dalam kotak penalti, namun ianya berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah. Tamat separuh masa pertama keputusan kekal 1-0 memihak PKNS FC.


Bersambung ke babak kedua, pasukan pelawat dilihat lebih mendominasi perlawanan untuk mencari gol penyamaan.


Gandingan Gilmar, Wander Luiz dan Leandro dos Santos banyak melakukan percubaan berbahaya untuk merobek kubu tuan rumah.


Bagaimanapun disiplin pemain pertahanan PKNS wajar dipuji apabila berjaya menafikan beberapa percubaan bahaya sepanjang 15 minit pertama separuh masa kedua.


Satu peluang keemasan Perak hadir pada minit ke-62, namun ketumpulan penyudah gagal memanfaatkan situasi kucar-kacir di dalam kawasan penalti PKNS.


Dua minit selepas itu, satu lagi peluang terbaik Perak menjelma, namun bagaikan mengulangi skrip sama, jentera serangan mereka sekali lagi mensia-siakan peluang keemasan tersebut.


Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, kedua-dua pasukan mula memperlahankan tempo masing-masing.


Bagaimanapun, tanpa disangka-sangka, PKNS terus menambah duka Seladang tiga minit sebelum perlawanan tamat apabila menjaringkan gol kedua.


Gol itu dijaringkan pemain gantian, Safee Sali yang berjaya memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan dan penjaga gol pelawat.


Sedang PKNS dilihat hampir membawa bekalan selesa dua gol ke Lumut, Perak dihadiahkan sepakan penalti di masa kecederaan.


Wander Luiz yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang itu untuk memberi gol saguhati buat Perak.


Tamat 90 minit perlawanan keputusan kekal PKNS 2 – 1 Perak. Hanya satu gol sahaja bekalan selesa buat PKNS untuk aksi timbal balik di Stadium TLDM Lumut dua minggu lagi.


Pastinya peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan mencipta kejutan mara ke separuh akhir Piala FA.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]