SEM ambil alih operasi jualan Sharp di Malaysia

in Bisnes by


SHARP Malaysia Sales & Service Company Sdn Bhd (SMSS) baru-baru ini mengumumkan pemindahan keseluruhan kepada syarikat usaha samanya, Sharp Electronics Malaysia Sdn Bhd (SEM), berkuat kuasa 1 April lalu.


Pengarah Urusan SMSS, Tadashi Ohyama berkata, proses penyusunan semula dalaman ini bermula beberapa bulan lalu dan kesepakatan dicapai pada 31 Mac lalu bahawa operasi jualan dan perkhidmatan Sharp di Malaysia akan dikendalikan sepenuhnya oleh SEM.


“Pasaran ASEAN yang berpotensi besar telah dikenal pasti menjadi pemacu pertumbuhan Sharp Corporation dan Malaysia adalah lokasi yang strategik di Asia Tenggara dengan ekonomi yang semakin berkembang dan pembangunan berterusan.


“Memandangkan persekitaran sesebuah negara menjadi peranan utama dalam pengembangan perniagaan kami di ASEAN, operasi perniagaan domestik di Malaysia telah diperhalusi untuk selaras dengan matlamat syarikat iaitu menstrukturkan sistem jualan Sharp kepada ‘satu pangkalan, satu negara’ untuk merealisasikan struktur perniagaan lebih cekap,” katanya.


Tambahnya, menerusi integrasi perniagaan ini juga akan meningkatkan operasi Sharp di Malaysia dengan SEM menjadi sebuah organisasi yang lebih cekap dengan proses membuat keputusan lebih cepat di kebanyakan bidang seperti perancangan produk, keupayaan logistik lebih baik bagi mencapai pasaran lebih cepat dan tepat dengan modal gabungan yang menawarkan kewangan lebih kukuh sekali gus mengembangkan perniagaan di Malaysia.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]