'Terima kasih tak terhingga'

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Orang Kelainan Upaya (OKU), Abu Ni’man Ismail, 53, melahirkan rasa syukur setelah permohonan baik pulih rumahnya telah diluluskan di Kampung Baru Lanjut Manis Terachi.


Kerja-kerja baik pulih sedang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik sejak Rabu lalu dan dijangka siap dalam masa terdekat.


Abu Ni’man ketika ditemui di rumahnya melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana telah meluluskan permohonannya meskipun terpaksa menunggu selama enam tahun.


“Sebaik kisah saya disiarkan oleh Sinar Harian pada 28 Mac lalu, pihak berkaitan telah menghubungi saya dan memberitahu peruntukan telah diluluskan dan kerja-kerja akan dilaksanakan dalam masa terdekat.


“Ketika ini kerja-kerja menukar bumbung sedang giat dijalankan dan mungkin esok akan siap sepenuhnya.


“Kemudian, saya difahamkan pihak kontraktor akan membaiki lantai dan dinding yang berlubang akibat anai-anai serta membuat tandas baharu di tepi rumah.


“Apabila semua kerja itu telah selesai, barulah kerja-kerja baik pulih pendawaian elektrik disiapkan. Insya-ALLAH bila tibanya Ramadan, rumah saya diterangi cahaya lampu,” katanya.


Sinar Harian pada 28 Mac menyiarkan kisah sedih seorang OKU hidup bertemankan lilin selama enam tahun di rumah pusakanya akibat dipercayai litar pintas.


Susulan kejadian itu, rumahnya bergelap dan perlu mohon bantuan dari pihak berkaitan kerana OKU adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) malah tiada sumber kewangan.


Dalam pada itu, Pejabat Baitulmal Daerah telah menerima peruntukan bagi membaik pulih rumah Abu Ni’man dan kini projek itu sedang giat dilaksanakan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]