Tiada lagi orang tengah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Hasrat kerajaan negeri mewujudkan kawasan khas untuk peladang, penternak dan nelayan memasarkan produk kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah kini menjadi realiti melalui Pasar Waghih Kito.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan membabitkan pusat pengumpulan makanan itu dilaksanakan buat julung kali di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) Paroi, di sini, mulai hari ini.


“Kita nak pastikan proses pengambilan keuntungan yang banyak akibat rantaian orang tengah ini dapat diatasi. Jadi, kita adakan pusat untuk pengeluar bahan makanan jual sendiri (barang masing-masing).


“Sebab itu kita boleh lihat tadi, harga ditawarkan di luar jangkaan. Macam cili merah, sampai RM5 lebih murah berbanding di pasaran. Ikan sungai biasa pun sama.


“Ayam kalau di luar harganya sekilogram RM9 lebih, tapi di sini cuma RM5.60 sekilogram. Ayam pencen pula RM6 saja seekor, sedangkan di luar sekitar RM8.50 hingga RM9 seekor,” katanya selepas menyempurnakan pelancarannya, di sini, hari ini.


Kata beliau, harga bahan mentah ditawarkan di situ lebih murah kira-kira 20 hingga 30 peratus berbanding di pasaran.  


Menurutnya, konsep Pasar Waghih Kito hampir sama dengan Jualan Sentuhan Rakyat dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di setiap kawasan Parlimen.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]