Wartawan Palestin ditembak mati

in Global by


GENTING GAZA – PALESTIN. Seorang petugas media Palestin ditembak mati ketika insiden pertempuran di sempadan Gaza, menurut Kementerian Kesihatan, hari ini.


Jurugambar agensi Ain Media berpusat di Genting Gaza, Yasser Murtaja dipercayai terkena tembakan rambang yang menyasarkan kumpulan penunjuk perasaan Palestin, semalam.


Gambar diambil media antarabangsa menunjukkan Murtaja yang memakai ves media diberi rawatan sebelum dia meninggal dunia.


Tentera Israel dalam satu kenyataan enggan memberi sebarang komen dan hanya berkata ia akan mengkaji semula insiden itu.


Insiden pertempuran terbaharu itu turut meragut nyawa seorang pemuda Palestin, Hamza Abdel Aal, 20, yang ditembak mati di timur al-Bureij di tengah Gaza.


Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah korban keganasan pada minggu kedua itu kini mencecah sembilan orang manakala kira-kira 491 lagi dilaporkan cedera.


Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat sekali lagi bertindak menyekat kenyataan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang menggesa siasatan dilancarkan ke atas pembunuhan kejam dilakukan Israel ke atas penduduk Gaza.


Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, 14 daripada 15 negara anggota UNSC sepakat bersetuju dengan kenyataan dicadangkan Kuwait, namun Washington menolaknya.


Mansour menyifatkan pendirian AS sebagai ‘sangat tidak bertanggungjawab’, sekali gus memberi lampu hijau kepada Tel Aviv untuk meneruskan serangan terhadap orang awam bermula 30 Mac lalu.


Sementara itu, Duta Kuwait ke PBB, Mansour al-Otaibi turut mengutuk kekejaman dilakukan tentera Zionis itu dan mengulangi gesaan supaya melancarkan siasatan bebas serta telus ke atas insiden tersebut. – Agensi

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]