Aku janji BN tawar perkara realiti

in Politik by


KUANTAN – Manifesto atau aku janji BN diumumkan Presiden Parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kelmarin, membuktikan matlamat dan usaha parti yang mahu membawa negara ke arah lebih baik tanpa meminggirkan mana-mana pihak.


Pemangku Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, aku janji tersebut menunjukkan parti begitu mengambil berat untuk meringankan beban rakyat keseluruhannya.


Menurutnya, BN telah menawarkan perkara yang realiti kepada rakyat dan bukan menabur janji perkara mustahil untuk dilaksanakan seperti ditawarkan pihak pembangkang.


“Boleh dikatakan Datuk Seri Najib mengumumkan perkara-perkara kita boleh laksanakan secara keseluruhannya.


“Bagi masyarakat peneroka Felda di kawasan ini, kami sangat berterima kasih kepada Najib kerana terus memberikan perhatian khusus kepada golongan peneroka dan generasi kedua Felda ini.


“Selain pengumuman pemberian insentif khas sebanyak RM5,000 kepada setiap peneroka dan mewujudkan geran khas tanaman semula, peningkatan jumlah projek pembinaan rumah komuniti Felda juga sangat dialu-alukan bagi membantu generasi kedua memiliki kediaman sendiri,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kementerian Pendidikan Tinggi Peringkat Parlimen Paya Besar di Padang Awam Permatang Badak, di sini, semalam.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah.


Dalam pada itu, bagi pengenalan dua kategori baharu penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) antara pendekatan terbaik yang diberikan dalam membantu rakyat.


“Tujuan asal kerajaan memperkenalkan BR1M adalah untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan bagi berdepan kos sara hidup.


“Jadi pengumuman terbaharu tersebut dapat menambah baik proses pengagihan BR1M bagi memastikan lebih ramai yang layak dan dapat menerimanya.


“Saya percaya ini adalah usaha yang dilakukan secara berfokus oleh kerajaan dan kita harap lebih ramai memperoleh manfaat,” katanya.


Dua kategori baharu penerima BR1M yang diumumkan, malam kelmarin, jika BN dipilih mengetuai kerajaan pada PRU14 iaitu bagi isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 bakal menerima RM700 setahun menerusi pembayaran sebanyak dua kali.


Manakala RM1,500 diberikan kepada anak penerima BR1M yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]