BN tiada hak peruntukkan wang besar

in Politik by


SHAH ALAM – Pengumuman manifesto BN yang melibatkan pelbagai tawaran insentif dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.


Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai kerajaan sementera, BN tiada hak memperuntukkan sejumlah wang yang besar setelah pembubaran Parlimen dilakukan.


“Isu yang perlu mereka (BN) jawab adalah, dari mana kelulusan diberikan. Apatah lagi peruntukan itu tidak dimasukkan di dalam pembentangan Bajet 2018.


“Jadi siapa yang memberi kelulusan itu. Persoalan ini rakyat perlu ajukan kepada mereka,” katanya selepas merasmikan Jentera PRU14 PKR dan Pelepasan Konvoi Logistik PKR, sebentar tadi.


Semalam, BN mengumumkan manifesto PRU14 dengan menyenaraikan 14 janji untuk membawa negara ke peringkat lebih unggul sekiranya diberi mandat baharu pada PRU14 nanti.


Najib juga turut mengumumkan berita gembira buat penerima BR1M dengan lima insentif baharu.


Sehubungan itu, Azmin menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil perhatian terhadap perkara tersebut.


“Pengumuman manifesto kebiasaannya adalah berasaskan pencapaian sesebuah parti dan perancangan dalam tempoh lima tahun sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya.


“Tapi dalam hal ini, demi meraih undi, perkara seperti ini berlaku dan bagi saya SPRM perlu mainkan peranan mereka,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]