Dapur tak basah lagi

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Seorang warga emas dari Kampung Balok, di sini kini mampu menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi menadah air yang menitik masuk dari atap ruang dapur rumahnya setiap kali hujan.


Sebelum ini, Azizah Tahir, 76, tinggal dalam keadaan tidak selesa apabila dapur rumahnya selalu basah dan sentiasa bimbang memandangkan bahagian atap dapur sudah reput.


Menurutnya, walaupun terpaksa tinggal dalam keadaan tidak selesa, dia tiada pilihan kerana tidak mampu untuk membaikinya sendiri.


”Mujurlah, masalah mak cik ni dapat perhatian dan ada pihak sudi membantu membaikinya. Mak cik ucapkan terima kasih dan bersyukur sangat-sangat,” katanya ketika ditemui selepas program gotong-royong membaiki rumahnya yang dijalankan Unit Amal Pas Indera Mahkota, hari ini.

Andansura menemui Azizah ( kiri) bertanya khabar ketika turun padang untuk bersama-sama membaiki rumah warga emas berkenaan.


Azizah berkata, dia yang tinggal di rumah itu bersama dua cucunya didatangi Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu beberapa hari lalu untuk bertanya khabar dan melihat keadaan rumahnya.


“Tak sangka hari ini YB (Andansura) datang bersama unit amal untuk menggantikan atap rumah dan menyelesaikan masalah mak cik sejak sekian lama,” katanya.


Sementara itu, Andansura berkata, pihaknya menerima aduan berhubung masalah dihadapi warga emas itu lalu turun sendiri meninjau keadaannya dua hari lalu.


“Saya datang sendiri untuk melihat keadaan rumah ini dan dapati keadaan atap dapur cukup daif dan perlu diganti.


“Saya cuba cari dana dan Allhamdulillah segalanya dipermudahkan bila kita dapat menyediakan kayu dan zink untuk baiki atap dapur rumah mak cik Azizah ni.


“Hari ni saya bersama beberapa Unit Amal Pas Indera Mahkota dan penduduk bergotong-royong membaiki atap rumah ini dengan harapan selepas ni mereka dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]