Laluan separuh akhir belum terjamin

in Sukan by


KETUA Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir tidak melihat kejayaan membenam cabaran Kuala Lumpur, 3-0 meletakkan pasukannya kini selesa untuk berada dikelompok empat terbaik Shopee Piala FA 2018.


Ujarnya, dalam bola sepak segala-galanya boleh berlaku dan bekalan yang dibawa untuk aksi kedua peringkat suku akhir bukanlah jaminan nyata untuk melangkah ke pusingan separuh akhir.


“Masih berbaki 90 minit dan saya percaya Kuala Lumpur akan memberikan saingan sengit pada aksi kedua nanti. Jadi kami perlu bersedia,” jelasnya.


Pada perlawanan tersebut, kesilapan pertahanan tuan rumah yang memberikan sepakan percuma dari luar kotak penalti dimanfaatkan sepenuhnya Selangor apabila bola hantaran tersebut ditanduk kemas pemain importnya, Willian Pacheco pada minit ke 19 untuk meletakkan pasukan dihadapan.


Selang empat minit kemudian, Rufino Segovia terus melebarkan jaringan buat pelawat selepas bijak menolak bola masuk ke gawang berpunca keadaan kelam kabut dan kurang persefahaman penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi dan pertahanan.


Dua gol tersebut nyata memberi tekanan buat The Hawks dan ia semakin parah apabila pemain importnya Guilherme De Paula dilayangkan kad merah pada minit ke 25 susulan tindak balasnya yang menumbuk Abdul Halim Zainal.


Walaupun beraksi kekurangan seorang pemain, tuan rumah berjaya melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan melalui Zaquan Adha dan Paula Josue serta Muhammad Syazwan Andik.


Kuala Lumpur hampir memperolehi gol pertama pada minit ke 32 melalui gerakan satu dua Paula Josue dengan Syazwan yang berjaya menembusi  benteng pelawat namun Norazlan cemerlang menafikan percubaan Syazwan untuk memastikan gawang tidak dibocori.


Berbaki 15 minit separuh masa kedua, deretan peluang gol yang gagal diterjemahkan barisan pemain Selangor memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga kedua pasukan beredar memasuki bilik persalinan.


Memasuki babak kedua, walaupun beraksi dengan kekurangan pemain, The Hawks turut mengancam kubu pelawat melalui beberapa percubaan dari Paulo Jesus pada minit ke 59 dan 82 namun Norazlan membuktikan ketangkasannya apabila menafikan dua percubaan berbahaya tersebut.


Ketika perlawanan bakal berakhir dengan keputusan 2-0, Rufino memastikan laluan cerah ke separuh akhir selepas meledak gol kedua buat dirinya dan ketiga untuk memastikan kemenangan mutlak 3-0 mengatasi Kuala Lumpur.


Mengulas aksi yang dipamerkan anak didiknya, Nazliazmi menyifatkan pemainnya berjaya memastikan perancangan pasukan menjadi kenyataan.


“Tiga gol yang terhasil pastinya bukan mudah, tahniah kepada pemain yang memastikan perancangan berjalan dengan lancer, mereka (pemain) mengikuti arahan dan memberikan tumpuan sepenuhnya walaupun berdepan tekanan dari pemain lawan.


“Semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan kemenangan ini untuk semua,” jelasnya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]