Pemain TFC tabur bakti

in Sukan by


SELEPAS menganjurkan program tanggung jawab sosial (CSR)  melibatkan pemain pasukan Terengganu FC II (TFC) di daerah Marang dua minggu lalu,  Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kini meneruskan aktiviti bersama masyarakat di daerah Kuala Terengganu dengan melibatkan skuad TFC di Kampung Teluk Pasu, kelmarin.


Pada program gotong-royong di  Kampung Teluk Pasu itu, pemain dan kejurulatihan skuad TFC berganding bahu bersama-sama lebih 100 kariah masjid serta masyarakat setempat membersih masjid dan kawasan sekitar.


Pengendali pasukan TFC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan program yang diatur pihak persatuan itu mampu mengeratkan hubungan antara pemain dan masyrakat setempat khususnya peminat bola sepak di negeri ini.

Irfan Bakti Abu Salim turut menyampaikan sumbangan kepada tabung Masjid Teluk Pasu yang disampaikan kepada imam masjid, Alias Awang.


Menurutnya, jika sebelum ini penyokong turun padang memberi sokongan kepada pemain, kini giliran kami pula untuk bersama-sama mereka menabur bakti bersama masyarakat.


“Sebelum ini, jika berkelapangan kami seringan mengadakan klinik bola sepak, tapi pada kali ini kami memilih untuk mengadakan kerja-kerja amal dengan membersih masjid bersama-sama dengan kariah masjid dan juga penduduk setempat.


“Alhamdulillah kesemua pemain dan penduduk dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan baik termasuk membersih kawasan persekitaran masjid dan Insya-Allah kami akan meneruskan usaha sebegini di daerah lain pula pada masa-masa akang datang,” katanya ketika ditemui selepat tamat majlis gotong-royong di Masjid Teluk Paku di sini, semalam.


Program yang berlangsung lebih dua jam itu turut mendapat kerjasama penuh daripada penaja rasmi pasukan TFC, Kopi Super Jantan yang disertai pengurus urusannya sendiri, Mohd Zulkifli Harun dengan menyampaikan sumbangan kepada penduduk kurang bernasib baik.


Hadir sama, Timbalan Pengerusi Masjid Teluk Paku, Tengku Zailani Tengku Zahid , imam masjid, Alias Awang  dan ahli jawatankuasa masjid  serta penduduk setempat.


Sambut baik usaha murni skuad TFC


Sementara itu,  Tengku Zailani menyambut baik usaha murni skuad TFC yang memilih Masjid Teluk Pasu dalam melakukan kerja-kerja amal mereka sambil menyifatkan ianya program yang julung kalinya   diadakan bersama-sama dengan pemain bola pasukan utama negeri.


Katanya, sebelum ini pihaknya banyak mengadakan program-program kemasyarakatan dan juga gotong-royong dengan agensi-agensi  kerajaan sejak lebih 80 tahun lalu dan sedikit teruja dengan kehadiran skuad TFC pada kali ini.

Pemain pasukan TFC tekun melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan pintu masuk masjid Teluk Pasu dalam program gotong-royong anjuran PBSNT bersama masyarakat setempat, semalam.


“Kita sebenarnya amat bersyukur kerana mereka bukan sahaja melakukan kerja-kerja amal malah turut menghulurkan sumbangan kepada 10 penduduk yang kurang bernasib baik.


“Justeru kami amat berterima kasih di atas kunjungan dan keprihatinan mereka terhadap masyarakat di sini dan mengharapkan TFC akan terus meraih kejayaan pada saingan kempen Liga Malaysia musim ini,” katanya.


Peluang kenali penyokong lebih dekat


Manakala pemain pertahanan skuad TFC, Hasni Zaidi Jamian mengakui program yang diadakan itu dapat menjadi platform terbaik buat pemain untuk mengenali dengan lebih dekat penyokong-penyokong mereka.


Katanya, ia merupakan satu usaha yang baik dilakukan pihak persatuan bukan sahaja dalam mengeratkan hubungan antara pemain dan masyarakat setempat tetapi memupuk nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri setiap individu.


“Jadi saya harap program-program sebegini dapat diteruskan dari masa ke masa kerana dengan cara ini kami bukan sahaja dapat menabur bakti kepada masyarakat bahkan menjadi lebih dekat bersama penyokong.


“Malah pada masa sama kami sebagai sebuah pasukan dapat sama-sama melakukan amal jariah dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]