Semarak kembali majlis berendoi

in Edisi Utara by


KUALA NERANG – Seramai 100 pasangan suami isteri menyertai Majlis Berendoi Perdana Parlimen Padang Terap di Dewan Tunku Putra, di sini semalam.


Majlis julung kali itu dianjurkan Pergerakan Puteri Umno Padang Terap dan dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Ahmad Kamil Munin.


Ketuanya, Zurina Zakaria berkata, majlis itu mendapat sambutan menggalakkan dari pasangan suami isteri yang baru mendapat anak di seluruh Padang Terap.


Katanya, program itu bertujuan bagi menghidupkan kembali majlis berendoi yang semakin dipinggir masyarakat hari ini.


“Melalui program ini pasangan suami isteri dapat melakukan berendoi kepada anak mereka secara beramai-ramai dan dapat mengurangkan kos. Melalui program itu, kami turut menjemput kumpulan Sautul Hikmah dari Kampung Nako Nambua bagi memeriahkan lagi majlis itu.


“Program ini diharap dapat menceriakan lagi pasangan suami isteri serta mendidik zuriat mereka dengan nilai-nilai Islam yang perlu diterap,” katanya.


Menurutnya, walaupun program itu dianjurkan Puteri Umno namun ia terbuka kepada semua peserta walaupun berbeza fahaman politik.


Bagi Muhammad Haikal Othman,28, dia sangat berterima kasih kepada Puteri Umno yang mengadakan majlis seperti itu.


Katanya, melalui program itu sudah pasti pada masa akan datang pasangan yang baru berkahwin akan menyertai program ini.


“Oleh itu saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan supaya menjadi acara tahunan di daerah ini. Saya yakin program ini pasti akan mendapat sambutan,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]