‘Terima kasih Sinar Harian, netizen prihatin’

in Edisi by


KUALA KURAU – Kesan penularan kisah kegusaran sebuah keluarga yang memerlukan sumbangan orang ramai bagi memenuhi cita-cita anak mereka melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir melalui Sinar Harian ternyata berjaya mengubah nasib mereka.


Dalam tempoh tidak sampai sebulan, hajat keluarga Mohamad Sani Musa,49, yang memerlukan sumbangan sekurang-kurangnya RM2,000 bagi menampung kos tambahan pengajian anak sulung mereka, Nur Fatin Raihan, 19, ke Mesir berjaya dicapai menerusi sumbangan netizen dan penduduk setempat yang prihatin.


Mohamad Sani berkata, susulan kisah kegusaran hidup mereka disiarkan akhbar Sinar Harian, ramai netizen dan masyarakat setempat prihatin tidak putus-putus menyalurkan sumbangan dan derma kepada keluarganya melalui akaun bank atau datang berjumpanya.


Menurutnya, ramai pihak bersimpati dan menyalurkan sumbangan bagi melancarkan hasrat Nur Fatin Raihan meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Al-Azhar bagi sesi 2018/2019.


“Alhamdulillah, bantuan Sinar Harian, golongan netizen dan masyarakat setempat prihatin yang  disalurkan selama ini cukup bermakna dan meringankan beban kami sekeluarga.


“Kami sekeluarga amat bersyukur dan terharu memandangkan kami tidak putus-putus menerima pelbagai sumbangan dari banyak pihak sejak kisah kami disiarkan.


“Segala sumbangan diterima membolehkan Nur Fatin Raihan meneruskan pengajiannya dan hanya Allah SWT dapat membalas jasa anda (penyumbang) semua,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.


Mohamad Sani berkata, Nur Fatin Raihan merupakan individu yang paling gembira dan terharu sehingga menitiskan air mata kesyukuran kerana tidak menyangka ramai insan berhati mulia yang sanggup membantu memenuhi impiannya.


“Syukur Alhamdulillah, berkat sumbangan diterima dan biasiswa tajaan Majlis Agama Islam Negeri Perak (Maipk), Nur Fatin sudah pun menaiki penerbangan ke Mesir semalam bagi mendaftarkan pengajian di Universiti Al-Azhar.


“Saya yakin dia akan menggunakan sumbangan terbabit dengan sebaiknya, malah dia sendiri berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya,” katanya.


Nur Fatin Raihan pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang Mumtaz, dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan mendapat tajaan penuh daripada Maipk untuk melanjutkan pembelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir.


Sementara itu, kisah kegusaran keluarga ini dalam mencari dana tambahan untuk meneruskan pengajian anak mereka turut mendapat perhatian Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azizul Rahman Mohamad memaklumkan pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga ini dan menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai kepada mereka baru-baru ini.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]