Zaidatul Husniah gagal ke final 100m

in Sukan by


PELARI pecut wanita negara,  Zaidatul Husniah Zulkifli, gagal menempah slot ke acara final 100m selepas meraih tempat ketujuh pada saringan ketiga separuh akhir di temasya Sukan Komanwel di sini hari ini.


Selepas merekodkan catatan 11.64s pada saringan kelima pusingan pertama, Zaidatul Husniah hanya mampu mencatatkan 11.84s pada saingan separuh akhir yang dibarisil lapan pelari.


Acara separuh akhir ketiga itu dimenangi oleh Christania Williams dari Jamaica (11.22s), diikuti oleh Reyare Thomas dari Trinidad & Tobago (11.36s) dan Halutie Hor dari Ghana (11.46s)


Dua pelari terpantas akan beraksi di peringkat akhir, esok.


Bagaimanapun, pencapaian pelari negara berusia 25 tahun itu harus diberi pujian kerana  muncul atlet wanita pertama negara layak ke separuh akhir acara pecut Sukan Komanwel selepas G. Shanti  pada temasya 1998 di Kuala Lumpur.


“Syukur dan berpuas hati dengan corak larian hari ini, saya rasa sangat berbaloi dengan catatan masa. Bagi saya berlari di luar negara bersama pelari hebat, saya boleh ikut rentak mereka untuk jadi lebih baik.


“Jurulatih, M. Balamurugan pun bagi maklum balas yang bagus jadi ia tidak beri tekanan kepada saya walaupun tidak ke final,” katanya yang pertama kali beraksi di Sukan Komanwel.


Beliau, yang memiliki catatan terbaik peribadi 11.61s yang dilakukan di Kuala Lumpur tahun lepas, berkata beliau menggunakan penyertaannya pada saat akhir dengan sebaik mungkin selepas tidak tersenarai dalam skuad olahraga sebelum ini.


“Walaupun peluang ke Komanwel dapat disaat akhir tapi saya guna sebaiknya. Agak berpuas hati sebab boleh lari dua kali. Berbaloi peluang yang diberikan walaupun separuh akhir tak dapat ikut rentak pelari lain.


“Mungkin disebabkan masa antara saringan dan separuh akhir agak dekat, namun saya tetap puas hati,” katanya.


Kali terakhir atlet wanita negara  mara ke final adalah dalam acara 400m lari berpagar melalui Noraseela Khalid di Sukan Komanwel 2002 di Melbourne, Australia. – Bernama


 


 


 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]