1MPAK platform cari kerja, pendidikan

in Edisi by


PAGOH – Ribuan pengunjung hadir memeriahkan jelajah Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) di Kompleks Sukan Pagoh, kelmarin.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Ismail Mohamed berkata, program sehari anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Mara itu menjadi platform  penduduk mencari peluang kerjaya serta ruang pendidikan.


“Kita jangka kehadiran 5,000 orang. Bagaimanapun, setakat pagi ini, lebih 3,000 pengunjung hadir.


“Pendekatan baharu ini lebih dinamik di mana pelbagai inisiatif sedia ada Mara dihimpun bawah satu bumbung dan secara terus ke peringkat akar umbi,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program 1MPAK di Kompleks Sukan Pagoh, kelmarin.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Mara negeri, Zulkifli Baba; Pengarah Jabatan Link dan Pejabat Bank Negara, Datin Arlina Ariff serta Pegawai Daerah Muar, On Jabbar.


Menurut Ismail, Pagoh bertuah kerana terpilih menjayakan program yang merangkumi keusahawanan, tanggungjawab sosial korporat, pendidikan, peluang pekerjaan dan pelbagai lagi aktiviti santai.


“Pelbagai peluang boleh direbut. Justeru, kita juga ambil kesempatan apabila mewujudkan Jualan Sentuhan Rakyat, pagi tadi di lokasi program ini. Semua kemudahan disediakan sememangnya untuk masyarakat Pagoh kerana peluang yang ada pada hari ini tidak datang selalu,” katanya.


Sementara itu, 1MPAK di Pagoh merupakan lokasi ke-27 jelajah yang bermula di Bera, Pahang pada Januari lalu yang memberi peluang pendidikan dan latihan untuk memenuhi permintaan industri pekerjaan bernilai tinggi khusus kepada golongan belia.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]