37 jam padam hampas kelapa sawit terbakar

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kuala Berang berjaya memadam kebakaran melibatkan hampas  kelapa sawit di sebuah kilang di Kampung Landas, setelah hampir 37 jam menjalankan operasi pemadaman.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Hairysam Mat Tahar berkata kebakaran  melibatkan timbunan hampas sawit seluas kira-kira 150 meter persegi dan tidak libatkan kemalangan jiwa.


“Kita terima panggilan berhubung kejadian jam 1.54 petang pada 7 April dan terus ke tempat kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota. Tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan hampas sawit.


“Keseluruhan anggota terlibat sepanjang operasi ialah hampir 30 orang secara shif. Cuaca panas serta keadaan hampas sawit yang kering menjadi faktor menyebabkan kebakaran cepat merebak.


“Berikutan api marak di bahagian bawah timpunan,  operasi memadam kebakaran turut menggunakan bantuan jentolak bagi leraikan longgakan hampas yang ketinggian mencecah kira-kira lebih tiga meter,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambah Hairysam, kerja-kerja pemadaman melibatkan sumber air daripada pili kilang berkenaan dan operasi memadam kebakaran di kawasan berkeluasan keseluruhan lebih 250 meter persegi itu tamat jam 1.10 pagi tadi.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan orang ramai juga lebih berhati-hati terutamanya sewaktu ingin melakukan pembakaran seperti di kawasan kebun kerana dengan cuaca panas sekarang ia boleh mengundang risiko api merebak.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]