Barakan semula saingan 9 sebelah

in Edisi by


IPOH – Penganjuran Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar baru-baru ini, diharapkan dapat  mengembalikan semula kegemilangan serta kerancakan kejohanan yang sudah agak lama tidak dianjurkan di negeri ini.


Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Perak (PBSMP), Ishsam Shahruddin berkata, kejohanan berkenaan yang cukup popular sekitar era 80-an dan 90-an itu banyak melahirkan ramai pemain handalan.


Malah menurutnya, kebanyakan pemain pasukan negeri dan kebangsaan pada ketika itu datangnya daripada kejohanan berkenaan.


“Tidak dinafikan kejohanan bola sepak 9 sebelah ini cukup popular suatu ketika dahulu. Ramai pemain terkemuka yang lahir daripada kejohanan ini.


“Tetapi kini kejohanan ini semakin dilupakan. Oleh itu, penganjuran kejohanan 9  sebelah ini akan dapat mengembalikan semula kerancakan kejohanan ini,” katanya lagi.


Difahamkan, sebanyak 14 pasukan telah menyertai kejohanan yang diadakan secara  secara karnival itu dan menyaksikan pasukan Majlis Bandaraya Ipoh 1 (MBI 1) muncul juara selepas menewaskan  Majlis Perbandaran Taiping (MPT) 1-0.


Sempena kejohanan berkenaan, peminat sukan bola sepak juga berpeluang menyaksikan kelibat bekas pemain bola sepak Perak pada aksi persahabatan antara pihak Persatuan Bola Sepak Daerah Perak Tengah dan pasukan bekas pemain Perak yang diwakili  Azizol Abu Hanifah, Mohd Ali Jinnah, Khairuddin Idris, Roafandi Yusof, Lim Seng Kong, Chee Wan Hoe dan ramai lagi.


Sementara itu, Ishsam berkata, PBSMP juga merancang untuk menganjurkan Karnival Piala Presiden PBSMP yang turut melibatkan kejohanan bola sepak 9 sebelah  tidak lama lagi.


“Kita kini sedang merancang  untuk anjurkan lagi kejohanan bola sepak 9 sebelah ini.


“Kita harap semoga usaha ini akan dapat membantu mengembalikan semula kegemilangan kejohanan ini seperti dahulu,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]