Bidang pendidikan jadi keutamaan

in Nasional by


PASIR GUDANG – Bandar ini kini mensasarkan kedudukan terbaik dalam kelompok pembelajaran cemerlang di masa akan datang seiring dengan usaha terus menerus yang dilaksanakan pelbagai pihak dalam sektor pendidikan di kawasan berkenaan.


Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu selepas pihaknya melihat potensi pembelajaran yang ada dalam kalangan pelajar kawasan ini menerusi rekod keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.


“Daripada jumlah 1,045 calon seluruh Malaysia yang menerima keputusan semua A dalam SPM lalu, 92 daripadanya dari Johor dan 24 dari Pasir Gudang. Kita sekarang berada di kedudukan kelima daripada 11 daerah lain. Jadi usaha ini harus diteruskan dan kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh.


“Jadi sasaran selepas ini adalah meningkatkan lagi kedudukan itu, kalau boleh tiga terbaik di masa hadapan. Bidang pendidikan ini penting, kerana segala kejayaan adalah bermula daripada pendidikan.


“Kemajuan negeri Johor pada masa akan datang juga bergantung kepada kemampuan golongan muda yang berjaya menguasai pelbagai bidang ilmu.


Jadi, saya mahu Pasir Gudang menjadi sebahagian daripadanya,” katanya ketika hadir Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan SPM Pasir Gudang, baru-baru ini.


Mohamed Khaled yang juga merupakan Adun Permas itu turut memaklumkan pelbagai bantuan dan inisiatif daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan akan terus membantu dalam melaksanakan sasaran mengapai kecemerlangan tersebut.


“Usaha ini dapat dilihat menerusi gerak kerja Yayasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang tidak pernah terlepas dari menghulurkan bantuan  dan peruntukan kepada bidang akademik para pelajar dalam kawasan ini.


“Kita boleh lihat menerusi program dan peruntukan untuk menjana latih tubi kepada para pelajar. Yayasan MPPG juga tidak lupa untuk membantu para guru dengan menyediakan peruntukan khusus untuk latihan para guru dalam membentuk pelajar yang berkualiti,” katanya.


Sementara itu, Normala berkata, penglibatan organisasi kerajaan seperti Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Yayasan Pendidikan Johor (YPJ) juga membantu dalam perkembangan moraliti dan intelek pelajar di sini.


“Dengan bantuan daripada usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri atau yang memberi bantuan seperti KPRJ ke YPJ begitu menyumbang kepada sektor pendidikan di sini. Para pelajar menerima manfaat yang besar merangkumi kelas tambahan, program sahsiah dan sebagainya.


“Pendekatan ini lebih sesuai dan dilihat menyeluruh memandangkan tidak semua pelajar berpeluang menerima pembelajaran luar, ada di antara mereka yang tidak mampu kerana datang daripada keluarga susah,” katanya.


Katanya, di peringkat parlimen pula, pengkhususan lebih diberikan kepada kemampuan pelajar membina keyakinan diri dengan memperkasa kebolehan berbahasa Inggeris.


Jelasnya, perkara itu direalisasikan menerusi Program Bonda Normala yang dilaksanakan sejak tahun lalu khususnya kepada pelajar sekolah rendah.


“Kenapa kebolehan berbahasa Inggeris, sebab peluang kerjaya kini memerlukannya. Kita berikan pendedahan awal agar anak-anak kecil kita ini membentuk keyakinan diri mereka.


“Walaupun kita jalankan program ini secara kecil, ia mendapat perhatian dan menerima sambutan baik daripada para pelajar dan ibu bapa,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, kewujudan sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi, (IPT) awam atau swasta di kawasan ini juga memainkan peranan yang besar dalam melahirkan golongan intelek.


“Daripada sudut pendidikan kita tidak kurang, ia memang diambil serius,  adanya universti awam daripada kerajaan, swasta, sekolah-sekolah, kolej komuniti dan institut latihan di sini membuktikan yang di Pasir Gudang ini tidak susah untuk cari tempat belajar,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]