Hafizh, Adam terus raih kecemerlangan

in Sukan by


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan kejayaannya menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan di Litar Termas de Río Hondo, Argentina, awal pagi semalam begitu bermakna dan menjadi penyuntik semangat untuk terus cemerlang pada perlawanan pusingan ketiga di Austin Texas, Amerika Syarikat 20 hingga 22 April nanti.


Baginya kejayaan diraih bergantung kepada krew di atas kerja keras berpasukan untuk memastikan jentera berada dalam keadaan terbaik.


“Syukur berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, untuk perlumbaan ini saya meletakkan keyakinan 100 peratus untuk memastikan kejayaan positif berjaya dicapai.


“Pada seisi kelayakan agak sukar untuk melakukan yang terbaik bagi mendapatkan posisi perlumbaan tetapi bila perlumbaan sebenar saya memiliki motivasi dan percaya mampu melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga pasukan.


“Menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan begitu bermakna, terima kasih kepada krew yang bekerja keras, penaja dan Insya-Allah saya akan bekerja keras pada perlumbaan di Australia nanti,” jelasnya.

Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan untuk mengutip tujuh mata.


Pada perlumbaan awal pagi tadi, walaupun bermula dari barisan belakang, Hafizh Syahrin membukti kehebatannya apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan untuk mengutip tujuh mata dengan catatan masa 40:60.653 saat.


Sementara itu dalam kategori Moto3, pelumba negara Adam Norrodin mempamerkan tunggangan sempurna untuk meraih tempat kelima sekali gus penamat terbaik kariernya selepas dua musim beraksi dalam saingan Moto3.


Pelumba Petronas Sprinta Racing itu menamatkan saingan 9.112 saat di belakang pemenang Marco Bezzechi (Redox PruestelGP) dari Itali yang melintasi garisan penamat dengan catatan 41 minit 43.822 saat.


Bagi Adam, secara jujurnya dia berpuas hati dengan pencapaian diraihnya walaupun tetap menyimpan impian untuk berada di atas podium.


“Ini pencapaian terbaik saya dan berpuas hati, namun saya percaya mampu melakukan yang lebih baik dan mungkin menamatkan perlumbaan dengan menaiki podium.


“Walaupun baru dua perlumbaan saya yakin mampu melakukan yang lebih baik,” jelasnya.


Adam mempamerkan prestasi cemerlang sejak latihan bebas Jumaat lalu, apabila muncul pelumba yang mencatatkan masa kedua terpantas, dan merakam keempat terbaik pada sesi kelayakan Sabtu lalu.


Rakan sepasukannya Ayumu Sasaki (Jepun) sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 (+29.252s) selepas bermula daripada petak ke-13.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]