Manifsto BN Sarawak fokus tuntutan pengembalian hak

in Politik by


KUCHING – Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak yang dilancar oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini memfokuskan kepada transformasi Sarawak melalui ekonomi digital dan tuntutan pengembalian hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Menurut Fadillah, manifesto yang mempunyai enam teras jika dilaksanakan dapat memanfaatkan negeri dan rakyat Sarawak.


Katanya, manifesto BN Sarawak itu juga menyeluruh yang menyentuh setiap lapisan masyarakat, wanita, orang muda, setiap daerah dan bahagian di negeri ini dan jia dilaksanakan ia akan dapat merancakkan pembangunan, rapat jurang antara persekutuan dan Sarawak.  


Di samping itu, katanya penurunan kuasa yang dituntut oleh kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan akan turut merancakkan pembangunan di negeri ini serta merapatkan jurang pembangunan antara semenanjung dan Sarawak.


Sementara itu, Menteri Kemudahan Utiliti Sarawak Datu Stephen Rundi Utom berkata manifesto berkenaan bagi memastikan keharmonian terus terpelihara di negeri Sarawak.


Di samping itu, katanya manifesto itu jelas membuktikan kerajaan di bawah kepimpinan Abang Johari akan terus berjuang untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.


“Kerajaan negeri juga memfokuskan kepada pembangunan luar bandar serta menyediakan infrastruktur kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan perhubungan jalan raya.


“Adalah diharap manifesto ini apabila dilaksanakan akan melonjakkan kemajuan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” kata Rundi yang juga setiausaha BN Sarawak.


Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah pula berkata manifesto itu turut memberi penekanan kepada pembangunan golongan wanita dalam ekonomi digital dan pendidikan. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]