‘Orang luar’ bukan masalah

in Politik by


PARIT BUNTAR – Status sebagai ‘orang luar’ bukan masalah besar kepada calon Harapan Dun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Muniam untuk melakar kejutan memenangi kerusi Dun itu pada PRU14.


Sebaliknya, Hasnul Zulkarnain, 36, yang juga Ketua Pemuda Harapan Perak menegaskan sikap keterbukaan masyarakat Parlimen Parit Buntar menerima sebarang perletakan calon luar sejak beberapa siri PRU lalu memberi keyakinan kehadirannya mampu diterima pengundi sini.


Menurutnya, sejarah PRU di Parlimen Parit Buntar menyaksikan ramai calon memenangi kerusi di situ merupakan ‘orang luar’ termasuklah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin.


“Meskipun berasal dari Kuala Kangsar, saya melihat kehadiran saya sebagai calon Harapan bagi Dun Titi Serong diterima baik masyarakat di sini yang rata-rata mahukan perubahan kerajaan di peringkat nasional.


“Bagi rakyat Parit Buntar dan Dun Titi Serong, isu utama diberi perhatian mereka adalah isu nasional terutama membabitkan kelemahan kerajaan BN diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.


“Isu calon anak tempatan dilihat tidak beri kesan kerana majoriti pengundi di sini mula lihat Harapan sahajalah merupakan satu-satunya parti yang mampu melakukan perubahan secara menyeluruh di peringkat negeri dan nasional,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah Parlimen Parit Buntar di sini, semalam.


Hasnul Zulkarnain berkata, jumlah peratusan pengundi baharu terutama dalam kalangan anak muda amat tinggi dan merupakan segmen utama diberi fokus adalah Harapan untuk menentukan kemenangan pakatan itu pada PRU14.


Menurutnya, kebanyakan pengundi mendambakan tokoh anak muda untuk memimpin mereka pada masa hadapan dan kesanggupan Harapan mempertaruhkan calon orang muda pastinya memberi impak positif kepada mereka dalam membuat pilihan.


“Meskipun saya dijangkakan bakal bersaing dengan calon-calon lebih berpengalaman dari Pas dan BN, saya yakin mampu mencipta kejutan dan memenangi kerusi Dun Titi Serong terutama berdasarkan sokongan padu pengundi Cina kepada Harapan ketika ini,” katanya.


Lima kerusi Dun melibatkan kawasan Perak Utara yang bakal ditandingi oleh Amanah mewakili Harapan ialah Titi Serong, Selinsing, Selama, Kamunting dan Changkat Jering.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]