Pas tawar Tadbir Urus Rabbani

in Politik by


SHAH ALAM – Pas akan menawarkan Tadbir Urus Rabbani sebagai sebahagian manifesto parti itu dan Gagasan Sejahtera.


Ahli Jawatan Kuasa Kerja Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Tadbir Urus Rabbani telah menunjukkan kejayaan dalam pentadbiran Pas di Kelantan sehingga diiktiraf sebagai kerajaan bebas rasuah dan ketirisan serta mempunyai akauntabiliti.


“Segala perancangan yang baik juga asasnya ialah tadbir urus yang baik (good governance). BN sekali lagi menjanjikan tadbir urus yang baik di saat mereka tercalar dengan pelbagai isu ketirisan.


“Namun, Pas bergerak selangkah ke hadapan dengan menawarkan Tadbir Urus Rabbani yang mengikat para pentadbir sebagai hamba kepada Tuhan yang meletakkan pertimbangan dosa dan pahala, syurga dan neraka serta pemantauan malaikat yang mencatat perlakuan baik dan jahat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Selain itu, menurut Mohd Khairuddin, Pas akan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan cukai bermodelkan sistem zakat Islam.


“Cukai ini dikenakan kepada golongan kaya iaitu cukai pegangan saham di Bursa Malaysia dan cukai simpanan korporat yang kedua-duanya mampu menambah pendapatan negara sekitar RM60 bilion, jauh melepasi pendapatan GST yang hanya RM44 bilion pada 2017. Namun, manifesto BN gagal membuat tawaran penghapusan GST sebagaimana harapan rakyat,” katanya.


Katanya, Pas akan turut menawarkan peluang pembiayaan kediaman mampu milik antara RM50,000 sehingga RM180,000 menerusi Qard al-Hasan, iaitu pinjaman tanpa faedah bagi B40.


“Pas juga menawarkan usahasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membuka rancangan-rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda. Ia ke arah pemilikan lot dan rumah kediaman mampu milik di samping membuka peluang baharu pekerjaan,” katanya.


Mohd Khairuddin turut mengkritik Manifesto BN yang tidak menyentuh tawaran melibatkan pemilikan kenderaan rakyat B40.


“Ia barangkali kerana BN gagal menunaikan janji manifesto 2013 bagi menurunkan harga kereta sehingga 30 peratus. Berbeza dengan Pas yang membuat tawaran khusus bagi pembelian kenderaan 1.3 cc ke bawah untuk kali pertama bagi golongan B40 dengan pengecualian duti eksais di samping kaedah pembiayaan Qard al-Hasan iaitu pinjaman tanpa faedah,” katanya.


Katanya lagi, Pas bergerak ke hadapan secara lebih komprehensif bagi menegaskan dasar bernegara iaitu Islam sebagai ad-Din yang perlu diperkasakan dalam peruntukan Perlembagaan.


Pas juga, kata beliau, membuat tawaran bagi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.


“Setelah meneliti Manifesto BN, saya sangat yakin bahawa apa yang ditawarkan oleh Pas dan Gagasan Sejahtera jauh lebih menyeluruh pada gagasan bernegaranya.


“Manifesto Gagasan seterusnya melibatkan segmen anak muda, wanita, petani dan lain-lain akan menyusul insya-ALLAH sebelum penamaan calon PRU14,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]