Rakyat Semporna tidak sokong parti 'kecewa' – Ramlee

in Edisi Sabah Sarawak by


SEMPORNA – Ketua Penerangan Umno Bahagian Semporna, Datuk Ramlee Marahaban yakin rakyat di daerah ini tidak akan terpengaruh dengan parti yang ditubuhkan atas dasar dendam, kekecewaan dan berlandaskan kepentingan peribadi.


Beliau berkata, rakyat Semporna sangat matang dan bijak dalam memilih pemimpin yang diyakini mampu memperjuangkan kepentingan dan kebajikan mereka serta pembangunan daerah secara keseluruhannya.


“Parti Warisan Sabah (Warisan) diasaskan oleh bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga bekas Ketua Bahagian Umno Semporna itu hanyalah sebagai talian hayat untuk meneruskan kelangsungan kerjaya politiknya.


“Parti (Warisan) ini bukan memperjuangkan kemajuan dan pembangunan negeri,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna di sini, hari ini.


Pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, menteri-menteri  Kabinet negeri dan pemimpin masyarakat Semporna.


Pada majlis itu, Najib turut mengisytiharkan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil dan menyerahkan geran tanah anak negeri kepada 1,000 penerima.


Berhubung  Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna, Ramlee yang juga pengerusi Warisan Harta Sabah Sdn Bhd (WHS) berkata projek pembangunan itu adalah usaha sama antara WHS, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri, dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).


Beliau berkata, pusat pelancongan itu antara lain menyaksikan enam komponen pembangunan termasuk pembinaan hotel setinggi 17 tingkat dengan  200 bilik, mini marina, esplanade dan pusat konvensyen berkapasiti 1,000 orang.


“Kami menyedari potensi Semporna sebagai bandar mutiara yang menjadi tarikan pelancong. Ini adalah khas untuk rakyat Semporna. Dengan terbinanya pusat ini, limpahan manfaat akan dirasai rakyat termasuk peluang pekerjaan dan penglibatan para usahawan tempatan,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Bahagian Umno Semporna Datuk Nasir Tun Sakaran yakin rakyat Semporna akan terus memberi sokongan padu kepada Umno dan BN.


Beliau berkata meskipun Umno Semporna berhadapan  ujian, namun anggota parti terus kental mendukung perjuangan parti dengan memperkasa aktiviti turun padang memberi penjelasan kepada rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan desakan pihak luar.


Ribuan rakyat Semporna menanti ketibaan perdana menteri seawal 7 pagi bagi melihat dengan dekat dan mendengar ucapan secara langsung pemimpin nombor satu negara itu. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]