Tanam cendawan guna tandan kelapa sawit

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Dalam usaha menambah pendapatan penduduk di sini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kuala Pilah tampil memperkenalkan program penanaman dan pengembangan cendawan jerami di sini.


Cendawan jerami atau lebih dikenali sebagai volvariella volvacea hanya menggunakan tandan kosong kelapa sawit sebagai medium organik pertumbuhan cendawan itu.


Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Negeri Sembilan, Prof Madya Dr Abdul Halim Ramli, berkata, menggunakan tandan kelapa sawit kosong lebih mudah dan mempercepatkan proses pertumbuhan cendawan.


Katanya, program perintis dimulakan 15 orang kampung dalam Dun Juasseh dan dijangka dapat menambah pendapatan kepada RM500 hingga 1,000 untuk dua bulan, iaitu dua kali tuaian cendawan.


“Kita memperkenalkan kaedah ini sebagai alternatif bagi meningkatka pendapatan isi rumah khususnya golongan penduduk kampung ini,” katanya di pusat pengajian biologi UiTM Kampus Kuala Pilah, baru-baru ini.


Beliau berkata, program tersebut adalah sebahagian khidmat sosial UiTM kepada komuniti selaras dengan hasrat pucuk pimpinan untuk mentransformasi teknologi pertanian kepada peringkat akar umbi.


“Kami bersedia memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada penduduk kampung untuk mempelajari teknologi pertanian ini.


“Jika telah mempelajari, ia perlu dipratikkan agar mengeluarkan hasil dan mampu menjana pendapatan sampingan,” katanya.


Jelasnya, UiTM merangka strategi dan membuat perancangan tertentu bagi membantu dan menyebarkan kepakaran kepada komuniti setempat.


“Proses pemindahan teknologi dilakukan kami kepada masyarakat setempat akan diteruskan dari semasa ke semasa.


“Melalui rangka kerja menggunakan prasarana dan kemudahan universiti, masyarakat setempat akan peroleh ilmu,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]