AirAsia kecualikan caj

in Bisnes by


SEMPENA Pilihanraya Umum Malaysia ke-14 (PRU14) akan datang, AirAsia menawarkan pengecualian kepada caj penukaran penerbangan untuk tempahan yang tarikhnya jatuh pada hari mengundi, 9 Mei 2018.


AirAsia dalam kenyataan medianya memberitahu, tawaran ini hanya sah kepada warganegara Malaysia dan tempahan mestilah dibuat dalam masa 10 hari dari pengumuman tarikh mengundi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).


Pelanggan boleh memilih menukar penerbangan dengan membuat satu penukaran tarikh untuk semua tempahan tanpa caj tambahan penukaran penerbangan bagi menangguhkan perjalanan sehingga tiga puluh hari dari tarikh perjalanan asal yang mana ia tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang/cukai atau pelanggan boleh memilih melakukan akaun kredit dengan mengekalkan nilai tambang dalam akaun Ahli AirAsia BIG untuk perjalanan masa akan datang dengan AirAsia, dan ditebus dalam masa 90 hari kalendar bermula dari tarikh  dikreditkan.


Syarikat menjelaskan, pelanggan yang ingin menukar tarikh penerbangan atau menerima akaun kredit perlu mengisi e-Borang yang boleh didapati di laman support.airasia.com.


“Pelanggan perlu klik pada tab E-mel di panel kanan, pilih pertanyaan/permintaan di bawah kategori jenis maklum balas, pilih tempahan di bawah sub kategori 1, pilih GE14 untuk Sub kategori 2, nyatakan pilihan di bawah Subjek: “GE14-Tukar Penerbangan” atau “GE14-Akaun Kredit”, lengkapkan borang tersebut dan klik hantar,” katanya.


Sementara itu, untuk penukaran tarikh penerbangan, pelanggan diminta nyatakan butiran penerbangan baharu termasuk butiran tarikh dan masa, nama penumpang kemudian hantar salinan MyKad.


Untuk akaun kredit, pelanggan perlu nyatakan nombor keahlian (ID) AirAsia BIG Loyalty dan hantar salinan MyKad.


“Pelanggan yang akan membuat perjalanan dalam tempoh pengundian dinasihatkan tiba di lapangan terbang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih. “Perkhidmatan tersebut boleh didapati 14 hari sebelum waktu pelepasan dan sehingga 60 minit sebelum.


“Bagi pelanggan yang mempunyai bagasi daftar masuk, mereka dinasihatkan tiba lebih awal untuk memastikan mempunyai masa mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi sebelum ke pintu masuk,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]