Dana raya khas untuk pasukan keselamatan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Semua anggota dan pegawai pasukan keselamatan tanpa mengira pangkat yang bertugas di Terengganu akan menerima dana raya khas, sama seperti seluruh rakyat di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, menerusi skim bantuan yang dinamakan Dana Mengenang Jasa Pasukan Keselamatan itu, setiap yang layak akan menerima RM400 bagi yang sudah berkeluarga dan RM200 untuk yang bujang.


“Pada mesyuarat Exco terakhir minggu lalu, kita bersetuju untuk memberikan dana ini bagi mengenang jasa pasukan keselamatan yang banyak berkorban untuk menjaga keamanan dan keharmonian di negeri ini terutama pada musim perayaan.


“Dana ini membabitkan perbelanjaan antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun dan jumlah penerima adalah lebih 5,000 orang,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong; Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab dan Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail.


Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, bantuan dana raya untuk pegawai dan anggota pasukan keselamatan berbeza dengan penerima biasa apabila tiada had pendapatan ditetapkan kerajaan negeri.


“Bagaimanapun, dana ini hanya akan diberikan kepada penerima yang belum lagi menerima apa-apa skim bantuan lain yang disediakan kerajaan negeri,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk sumbangan kepada Dana Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]