ECRL akan bantu lonjak ekonomi Malaysia

in Bisnes by


LALUAN Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 688 kilometer akan menjadi antara elemen penting dalam melonjakkan lagi ekonomi Malaysia kerana ia memberikan kelebihan kompetitif serta menarik pelaburan asing terutamanya dari China, kata bekas menteri pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat.


Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada Inisiatif Belt and Road (BRI) China, ECRL akan menyediakan peluang besar pertumbuhan ekonomi negara terutamanya bagi negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.


“Negeri-negeri pantai timur memiliki potensi ekonomi yang besar tetapi berdepan halangan disebabkan oleh akses terhad kepada infrastruktur pengangkutan, terutamanya infrastruktur kereta api. Bukan sahaja ECRL diperlukan sekarang, pembangunan projek itu perlu dipercepatkan disebabkan kepentingannya kepada negara,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi emel.


Laluan kereta api itu yang dijadualkan siap pada 2024, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan, merentasi Pahang dan Terengganu.


Tee Keat, yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Laluan Sutera Malaysia-China berkata, ECRL adalah satu idea yang benar-benar baharu yang telah dirancang sejak lama dahulu pada era 1980-an dan diteliti semula pada 1999. – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]