Gerakan yakin tawan semula Dun Derga, Sidam

in Politik by


ALOR SETAR – Gerakan Kedah yakin dua kerusi yang pernah dimenanginya di Dun Derga dan Sidam akan dirampas semula pada PRU14 nanti.


Pengerusi Gerakan Kedah, Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata, BN mampu merampas dua kerusi ini semula selepas mendapat reaksi baik daripada masyarakat Cina hari ini.


Katanya, masyarakat Cina merasa tertipu selepas memilih pembangkang  pada pilihan raya lalu dan ini terbukti dengan keluhan mereka sejak akhir ini yang kurang senang dengan perkhidmatan diberi.


“Rakyat hari ini sangat bijak menilai  keupayaan ahli pembangkang dalam mengurus serta membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Ini terbukti apabila berlaku sesuatu bencana pihak berkenaan hanya turun tetapi tidak dapat menyelesaikannya.


“Akhirnya penduduk yang ditimpa bencana akan merujuk kembali kepada BN bagi meminta bantuan, malah mereka menganggap bantuan BN adalah lebih cepat berbanding dengan pembangkang yang mengambil masa untuk menyelesaikannya,” katanya semasa Ceramah Rakyat BN Menolak Pakatan Hipokrasi di Taman Derga Jaya, semalam.


Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Bahagian Umno Pokok Sena, Said Ali Syed Rastan; Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Othman Abdul dan Pegawai Khas Penerangan Umno Malaysia, Datuk Shamsul Najmi Shamsudin.


Menurut Soon Hai, beliau berharap pada PRU nanti pengundi perlu memilih calon yang komited serta dapat menyelesaikan masalah rakyat dan bukan hanya pandai membuat janji.


“Saya yakin pada PRU nanti pengundi akan membuat keputusan yang bijak demi masa hadapan mereka. Pengalaman lalu telah memberi kesan dan saya yakin pengundi akan memilih calon BN,” katanya yang turut dicalonkan di Dun Derga pada PRU nanti.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]