Guru kena fikir lebih kreatif

in Edisi by


GURU Bahasa Inggeris disaran guna pendekatan dunia digital untuk menarik minat pelajar menguasai bahasa global itu.


Ketua Sektor Akademik, Jabatan Pendidikan negeri, Sallina Hussain berkata, mereka harus memikirkan cara yang lebih kreatif sejajar dengan perkembangan teknologi terkini.   


“Sekarang di sekolah ada pelbagai peluang sebab ada banyak peralatan  seperti komputer, laptop dan sebagainya bagi membolehkan pendidik mendapatkan capaian yang cepat.


“Ia memberi peluang kepada pendidik dapatkan sebarang modul atau idea untuk penyampaian lebih efektif. Semua benda boleh dimuat turun atau sambungkan aplikasi YouTube dengan Smart TV.


“Jadi, sumber  yang ada lebih menarik, berwarna dan berbeza dengan cara dahulu ketika saya mula-mula mengajar dahulu,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa hadir Persidangan Bahasa Inggeris Johor kali kesembilan, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Johor (Jelta), Vincent D’Silva.


Pada majlis tersebut, seramai enam guru terpilih menerima Anugerah Guru Bahasa Inggeris Cemerlang.


Beliau berkata, warga pendidik juga dinasihatkan supaya meningkatkan penguasaan penggunaan teknologi dan kurangkan kebergantungan pada buku untuk mengajar.


“Pendidik harus tahu bagaimana menggunakan teknologi untuk mencari bahan-bahan yang nak digunakan.


“Sebagai contoh, mereka boleh gunakan aplikasi Skype untuk berinteraksi antara pelajar Jepun dan pelajar Malaysia menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.


Sementara itu, Vincent berkata, persidangan itu menerima penyertaan 420 tenaga pengajar dari dalam dan luar negara termasuk Afghanistan, Iran, Iraq, Kanada, Australia, Singapura dan India.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]