Hakim jalani pemindahan hati esok

in Edisi by


JELI- Setelah hampir tiga minggu diterbangkan ke China, bayi menghadapi masalah kegagalan hati berfungsi (Billiary Atresia), Muhamad Fakhri Hakim Mohd Fazil akhirnya boleh menjalani rawatan pemindahan hati esok.


Hakim yang ditemani ibunya, Noorinie Stofar, 31, dan bapanya, Mohd Fazil Othman, 34, diterbangkan ke China pada 21 Mac lalu untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai.


Noorinie yang bakal mendermakan sebahagian hatinya kepada Hakim berkata, rawatan itu dapat dilakukan esok selepas kondisi Hakim agak stabil.


“Ketika mula-mula tiba di China hampir tiga minggu lalu, paru-paru Hakim disahkan dijangkiti kuman dan ia perlu dirawat terlebih dahulu.


“Alhamdulillah, beberapa hari ini keadaannya bertambah baik, selepas pemeriksaan rapi oleh pasukan perubatan, mereka sahkan Hakim sudah boleh jalani pembedahan,” katanya.


Noorinie berkata, dia memohon doa rakyat Malaysia agar segala urusan pembedahan Hakim berjaya dan kembali sihat sebagaimana anak-anak lain seusianya.


Difahamkan, Hakim yang kini berusia setahun tiga bulan merupakan bayi ke-20 dari Malaysia yang menjalani rawatan pemindahan hati di hospital berkenaan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]