Hanya pemerhati dilantik SPR layak pantau PRU14

in Politik by


PUTRAJAYA – Hanya organisasi dan individu yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemerhati akan diiktiraf untuk memantau dan memerhati proses PRU14.


Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pemerhati antarabangsa dan tempatan yang dilantik dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di dalam pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.


“Pada PRU14 ini, SPR telah menjemput 14 buah negara sebagai pemerhati antarabangsa yang terdiri daripada Badan Pengurusan Pilihan Raya dari negara-negara anggota Asean, Komanwel, Asia dan Eropah serta sebuah pusat kajian dan sokongan kepada badan pengurusan pilihan raya yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom iaitu Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC).


“SPR turut melantik 14 buah NGO dan wakil universiti sebagai pemerhati tempatan untuk menjalankan pemerhatian ke atas penjalanan proses PRU14 ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan,” katanya dalam sidang media pengumuman tarikh mengundi PRU14, hari ini.


Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dijual pada 16 April ini.


“Para pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web www.spr.gov.my atau melalui aplikasi MYSPR SEMAK atau telefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888, juga mulai 16 April.


“Suka saya mengingatkan bahawa tarikh tutup permohonan undi pos dalam negara bagi kategori Borang 1A akan ditutup pada 28 April. Manakala tarikh tutup bagi permohonan kategori Borang 1C adalah pada 23 April,” katanya.


Maklumat-maklumat lain berhubung urusan pilihan raya juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh SPR.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]