Jaminan anak muda: Blueprint kebajikan Belia TN50

in Politik by


SHAH ALAM – Pelancaran manifesto anak muda yang dikhususkan kepada belia negara menjadi simbolik bahawa anak muda membawa peranan yang paling utama sekali dalam pertempuran kali ini.


Pengerusi Sahabat Puteri BN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, lapan jaminan yang ditawarkan BN kepada anak muda merupakan gambaran prospek dan ‘blueprint’ yang bakal diguna pakai demi kebajikan anak muda jika BN kekal sebagai parti pemerintah.


“Anak muda sekarang bukan hanya sekadar pemerhati pada PRU14, tetapi mereka juga bakal penentu kepada masa depan generasi ini.


“Dengan peratusan berjumlah hampir 40 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi, ini menunjukkan keterujaan anak muda untuk sama-sama dalam menyumbang dalam pilihan raya umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, tawaran yang dibentangkan selari dengan pembangunan ekonomi yang pesat dengan mengambil tindakan afirmatif bagi mengawal serta memastikan pembangunan ekonomi anak muda selari dengan ekonomi dunia.


“Saya yakin belia Malaysia menginginkan kualiti hidup yang baik, ekonomi yang lebih baik dan kestabilan negara yang lebih baik.


“Saya juga percaya bahawa orang muda mahukan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala tuju negara,” ujarnya.


Beliau berkata, Sahabat Puteri BN akan terus komited untuk bersama-sama Khairy Jamaluddin selaku Pengerusi Pergerakan Pemuda BN bagi memastikan anak muda diberi prospek yang khusus demi pembinaan masa depan belia yang lebih tersusun ke arah Transformasi Nasional 2050.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]