JPJ sedia kaunter khas bayar saman

in Edisi Utara by


SEBERANG JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyediakan kaunter khas bayaran saman dan kompaun dengan diskaun sehingga 70 peratus sepanjang April sehingga 2 Mei ini.


Ini sebahagian langkah proaktif agar mereka yang ingin membayar saman tidak perlu menunggu lama.


Pengarahnya, Mohamat Johari Mat Nor berkata, program ini dilaksanakan sejak minggu lalu dan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.


“Dalam masa sama, JPJ turut menyediakan tawaran untuk memperbaharui cukai jalan bagi motosikal yang tamat tempoh lebih dari setahun tanpa perlu melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari JPJ Ke-72 peringkat negeri di Seberang Jaya, siang tadi.


Katanya, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak menggunakan van bagi membolehkan pelanggan membuat bayaran tanpa perlu hadir ke pejabat JPJ.


“Sejak 4 April lalu sehingga hari ini, sebanyak 1,351 urusniaga dijalankan untuk bayaran saman dan kompaun itu dengan kutipan RM111,420.


“Kami juga buka kaunter tambahan di pejabat JPJ setiap Jumaat,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]