Kembalikan Dun Gunung Semanggol, Selinsing pada BN

in Politik by


BAGAN SERAI – Rakyat Parlimen Bagan Serai disarankan mengembalikan sokongan mereka kepada BN bagi Dun Gunung Semanggol dan Selinsing pada PRU14.


Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, melalui kaedah itu, rakyat dapat membantu BN mengekalkan tampuk pemerintahan kerajaan negeri bagi penggal seterusnya.


Menurutnya, rakyat Parlimen ini diingatkan tidak ulangi kesilapan menyerahkan tampuk kerajaan negeri kepada kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 yang akhirnya dikuasai DAP.


“Dalam tempoh 11 bulan, keadaan pentadbiran kerajaan negeri PR menjadi tunggang langgang dan buat pertama kali dalam sejarah, tanah kampung baru Cina ditukarkan status pemilikan kepada pajakan 999 tahun.


“Senario itu disebabkan negeri ketika itu hanya menjadi boneka parti tertentu malah tindakan dua ahli Exco Kerajaan Negeri dan seorang Adun DAP lompat parti kerana tidak tahan dengan sikap sombong pemimpin DAP,” katanya pada program 1Malaysia Veteran Home Repair di Kampung Parit Haji Taib 3 di sini, semalam.


Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Kolonel Yusof Saidi.


Sementara itu, Yusof menegaskan JHEV mengesan kira-kira 10,000 bekas tentera masih tidak  mendaftar sebagai ahli dengan persatuan bekas tentera di negeri ini.


Menurutnya,  bekas tentera yang tidak menjadi ahli persatuan menyukarkan pihaknya untuk bantu mereka yang menghadapi masalah.


“Dengan menjadi ahli persatuan akan membolehkan persatuan membantu termasuk melawat mereka yang menghadapi masalah termasuk masalah kesihatan dan kesulitan yang dihadapi sekeluarga.


“Kalau tak jadi ahli kita tidak tahu mereka ini bekas tentera atau tidak,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]