Kemelut gaji bunuh karier pemain muda

in Sukan by


PEMAIN berpengalaman Kuantan FA, Abdul Ghani Rahman menyifatkan kemelut pembayaran gaji yang melanda pasukan membunuh semangat serta perkembangan karier pemain muda yang dilihat mampu mewarnai saingan Liga Malaysia.


Jelasnya, situasi ini nyata mengecewakan jika dilihat beberapa potensi pemain muda dalam pasukan yang mempamerkan peningkatan setiap kali diturunkan.


“Kami memiliki pemain baharu yang saya lihat mampu pergi jauh dan tidak mustahil mereka akan memeriahkan saingan Liga Malaysia.


“Tetapi melihat kepada situasi semasa (kemelut gaji) yang melanda dalam pasukan ia membunuh keyakinan dan karier pemain tersebut.


“Sebagai orang ramai saya sedih melihat keadaan ini walaupun pelbagai usaha dan langkah telah diambil untuk memastikan ianya tidak berlaku,” katanya.


Diminta mengulas kemungkinan gejala menjual perlawanan berlaku dalam pasukan susulan masalah tunggakan gaji, Abdul Ghani sentiasa mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terjebak dengan gejala terbabit.


“Jika berdepan masalah sebegini, sudah tentu unsur terbabit boleh masuk dalam pasukan namun sebagai pemain berpengalaman, kita perlu menasihati rakan sepasukan mengenai apa perlu dilakukan dan apa sepatutnya dijauhi.


“Ia bukan membabitkan duit namun maruah paling penting, kita perlu jaga sebagai pemain bola sepak,” ujarnya.


Untuk rekod The Seagulls memulakan saingan dengan kekalahan di tangan Sarawak (1-0) pada 2 Februari sebelum meraih satu mata ketika menentang MISC (1-1) selang empat hari kemudian.


Anak didik Ismail Zakaria terus gagal meraih kemenangan pada aksi ketiga menentang UiTM ( 10 Februari) selepas diikat seri 1-1, namun kemenangan sulung yang dicari Kuantan FA akhirnya menjelma selepas menundukkan cabaran UKM FC, 4-0 pada 23 Februari 2018.


Hasrat Kuantan FA untuk meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan kelima menentang Felda United bagaimanapun tidak kesampaian apabila tewas 0-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Pahang, 9 Mac 2018.


Kuantan FA kini berada di kedudukan kelapan selepas meraih satu kemenangan dan dua seri serta dua kalah untuk mengutip lima mata.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]