Kerajaan negeri elak berasa puas hati

in Politik by


BANDAR KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri tidak pernah memikirkan untuk berasa puas hati dengan usaha dibuat selama ini sebaliknya sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perasaan puas hati juga akan menyebabkan kerajaan negeri berasa selesa dengan apa dibuat sekarang.


Menurutnya, biarlah rakyat buat penilaian secara rasional dan waras berhubung usaha kerajaan negeri membangunkan Perak dari dulu sehingga kini.


“Bagi saya paling penting saya dan rakan-rakan (barisan kepimpinan kerajaan negeri) melaksanakan usaha bersungguh-sungguh untuk capai matlamat baik bagi negeri Perak.


“Soal puas hati satu perkara yang relatif. Mungkin hari ini kita capai satu usaha terbaik, esok kita rasa perlu lengkapkan lagi.


“Apa kita capai hari ini maka saya tak boleh khususkan satu perkara saja. Biar rakyat buat penilaian secara rasional dan waras,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas selepas Istiadat Menzahirkan Pengumuman Pembubaran Dun Perak ke-13 di Bangunan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), semalam.


Dalam pada itu, Zambry menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menasihatkan ahli politik menjaga keamanan ketika pilihan raya berlangsung tidak lama lagi.


Menurutnya, BN Perak akan pastikan kempen semasa musim PRU14 dapat dilaksanakan sebaiknya tanpa sebarang provokasi yang boleh keruhkan suasana sepanjang kempen.


“Kita seru semua pihak, semua parti di Perak agar sentiasa menjaga hal-hal berkaitan soal keamanan, ketenteraman awam di Perak. Ini tanggungjawab semua,” ujarnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]