Kumpulan samun sarang burung walit diberkas

in Edisi Sabah Sarawak by


SIBU – Satu kumpulan penjenayah dikategorikan  ganas oleh polis dan terlibat dalam kes samun sarang burung walit dianggarkan bernilai mencecah RM 1 juta di lima bahagian di Sarawak, berjaya dilumpuhkan dengan penangkapan sembilan anggotanya, hari ini.


Suspek yang berusia antara 21 hingga 31 tahun diberkas dalam serbuan polis di lima premis di bandar ini sejak awal pagi tadi.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, SAC Datuk Dev Kumar berkata, turut diberkas dalam serbuan dari 2.30 hingga 9 pagi itu ialah ketua mereka yang berusia 31 tahun berasal dari Mukah.


Mereka diberkas dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Lorong Ek Dee; di tingkat dua sebuah rumah kedai di Lorong Chengal 5; tingkat satu sebuah rumah kedai di Jalan Jerwit Barat; rumah tidak bernombor di Jalan Rambutan dan di sebuah rumah satu tingkat di Jalan Kapor.


“Mereka yang bersenjatakan senapang patah dan parang telah memecah masuk ke dalam rumah-rumah burung walit di Sibu, Mukah, Tatau, Matu Daro, Sarikei, Saratok dan Betong. Nilai sarang burung yang telah disamun oleh kumpulan ini mencecah RM1 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, turut diberkas ialah seorang lelaki pembeli sarang burung berusia 52 tahun yang dipercayai membeli sarang-sarang burung walit itu daripada suspek-suspek itu dengan harga RM2,000 sekilogram serta memproses sarang burung berkenaan di kediamannya di Jalan Kapor sebelum dieksport ke China.


Katanya, dalam serbuan itu polis merampas pelbagai jenis senjata seperti parang, sabit, taji ayam, tombak dan peluru senapang patah, peralatan pecah rumah, 20 telefon bimbit dan hampir satu kilogram sarang burung yang telah diproses.


Dev Kumar berkata, kumpulan ini disyaki terbabit dalam kes samun rumah burung walit di Matu, Oya, Mukah dan Balingian (Bahagian Mukah), Sibu Jaya (Bahagian Sibu), Pusa dan Kabong (Bahagian Betong), Tatau (Bahagian Bintulu) serta Sarikei dan Jakar (Bahagian Sarikei) antara Disember 2017 hingga April 2018.


Selain itu kumpulan tersebut juga disyaki terlibat dalam kes samun lori kren di Bintulu pada bulan September 2017.


“Kumpulan ini mula mendapat perhatian pasukan petugas apabila mereka menyamun sebuah lori kren bernilai RM200,000 di sebuah kilang bata di Bintulu pada 20 September 2017. Dalam kejadian samun ini, lebih kurang 10 orang suspek telah mengikat seorang pekerja dan membawanya lari sebelum mencampak mangsa keluar daripada kereta di Simpang Sebauh,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]