Niat jahat demi kelangsungan politik

in Politik by


TELUK INTAN – Kenyataan Pengerusi Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa 300 ahli PKR Pasir Salak dijangka bertindak keluar parti adalah tidak benar sama sekali.


Ketua PKR Cabang Pasir Salak, Noor Azwan Ramli berkata, dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak itu hanyalah satu tuduhan dengan niat jahat demi kelangsungan politiknya tanpa disertakan sebarang bukti.


“Jumlah 300 orang itu bukanlah sedikit dan sekiranya terdapat gerakan besar-besaran keluar parti oleh mana-mana ahli parti komponen Harapan, sudah tentu ia akan dirasai oleh seluruh komuniti Pasir Salak.


“Jadi kami Harapan Pasir Salak ingin memohon bukti sahih pertuduhan yang telah dinyatakan oleh beliau (Tajuddin) kepada media tempatan baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya laporan berita berkenaan turut menyatakan bahawa seorang lelaki bernama Mohd Khairul Nizam Hajar yang juga bekas Naib Pemuda PKR Cabang Pasir Salak telah keluar parti bersama 44 individu lain juga tidak benar.


“Ini tuduhan palsu dan berniat jahat oleh Tajuddin,” katanya.


Noor Azwan turut mempersoalkan tindakan Tajuddin yang mengeluarkan kenyataan berkenaan sama ada dia mula berasa tergugat dengan kebangkitan rakyat yang bakal menyebabkan beliau hilang kerusi sebagai Ahli Parlimen.


“Kami di Harapan sentiasa menjunjung tinggi semangat demokrasi yang diamalkan di negara ini kerana pilihan untuk bersama mana-mana parti adalah pilihan individu dan tiada paksaan kepada sesiapa sahaja untuk menyertai atau keluar sesebuah parti.


“Harapan Pasir Salak akan terus perjuangkan nasib penduduk parlimen ini dan kami yakin bahawa berita-berita palsu serta separuh masak yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tidak akan dapat melunturkan semangat rakyat Malaysia untuk memilih Harapan PRU 14 ini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]