Orang buta celik al-Quran

in Edisi Terengganu by


SEBERANG TAKIR – Jika mendengar kemerduan suara Mohamed Zaki Ismail, mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran tanpa melihat fizikalnya, tiada siapa menyangka beliau sebenarnya insan istimewa yang cacat penglihatan sejak lahir.


Kebolehannya dalam membaca maksud yang terkandung dalam kitab suci umat Islam itu beserta hukum tajwid juga jelas membuktikan bahawa kecacatan yang dialami tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak berusaha bagi menambah ilmu agama.


Menurut bekas guru berusia 66 tahun itu lagi, dia mula belajar al-Quran braille di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu pada tahun 2009 dan berjaya khatam 30 juzuk tiga tahun selepas itu.

Mohamed Zaki


“Sebelum ini saya hanya belajar braille dalam rumi atau tulisan biasa, jadi selepas saya bersara daripada bidang perguruan di sekolah, saya ambil keputusan untuk mendalami al-Quran braille.


“Pada ketika itu, Pertis Wilayah Terengganu baharu menawarkan kursus berkenaan dan dari 2009 hingga kini saya kekal menabur bakti kepada orang-orang yang senasib dengan saya.


“Saya bertekad untuk mendalami al-Quran dan dalam masa yang saya ingin berkongsi ilmu dengan orang lain supaya lebih ramai golongan cacat penglihatan celik al-Quran,”katanya.


Jelas warga emas yang menetap di Kampung Batin ini lagi, bergelar satu-satunya guru kelas pertama di persatuan itu, beliau bertekad untuk melahirkan lebih ramai pelajar buta yang bukan sahaja mampu menguasai al- Quran dan terjemahannya, tetapi mampu mengajar orang lain pula.


“Menjadi guru ini bukan tugas yang mudah kerana besar tanggungjawab dalam menyebarkan ilmu kepada orang lain.


“Jadi saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran dan menambah ilmu dengan harapan dapat memberi semangat kepada generasi muda golongan cacat penglihatan untuk terus mendalami ilmu agama yang menjadi pegangan hidup ini,”katanya.


Sementara itu, Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, ketika ini persatuan itu mempunyai seramai tiga guru bertauliah dan empat guru pembantu sejak kelas al-Quran braille ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu.


Katanya Mohamed Zaki antara tiga guru perintis dan mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) selepas lulus dalam pelbagai ujian sekaligus melayakkan beliau mengajar ahli yang lain.

Mohamed Zaki memberi penerangan hukum tajwid kepada anak murid beliau.


Jelas Mohd Fauzi lagi, bagi empat guru pembantu yang belum lagi menerima tauliah daripada jabatan yang memantau aktiviti Pertis itu, mereka turut mengikuti kelas khas dalam usaha meningkatkan kemahiran bagi bacaan al-Quran, tajwid dan taranum dan sebagainya.


“Pada awal penubuhan kelas al-Quran khusus untuk golongan cacat penglihatan ini kita hanya mempunyai seorang guru dan lima orang pelajar.


“Bagaimanapun, dari tahun ke tahun kita dapat melihat perkembangan yang cukup positif dan ahli-ahli juga begitu fokus dalam menambahkan ilmu masing-masing.


“Kita di pihak Pertis sememangnya komited dalam melahirkan golongan istimewa seperti kami ini didedahkan dengan ilmu agama dan celik al-Quran,”katanya.


Tambahnya lagi, ketika ini seramai 50 ahli persatuan itu mengikuti kelas al-Quran braille yang diadakan tiga hari seminggu di pejabat Pertis yang terletak di Seberang Takir.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]