Pakej Umrah Congcodei

in Bisnes by


RICHWORLD Travel & Tours Sdn Bhd (Richworld Travel) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kazai Inovative Ideas Solution (Kazai Inovative) dan selebriti terkenal, Mohd Sabri Yunus atau lebih dikenali sebagai Sabri Yunus (Pok Ya Cong Codei) bagi menyediakan perkhidmatan umrah yang dikenali Pakej Umrah Congcodei dan mempromosikan pelancongan halal.


Majlis MoU itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Richworld Travel, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, wakil Kazai Inovative, Nor Zaizalina Yahya dan Mohd Sabri.


Mohd Radzuan berkata, melalui kerjasama itu, Richworld Travel menyasarkan seramai 1,000 jemaah umrah dan mengunjurkan jumlah pendapatan RM6 juta pada 2018.


“Pakej Umrah Congcodei bermula Oktober ini, menawarkan harga bermula RM5,450 untuk tempoh 12 hari dan 10 malam.


“Pakej ini menyediakan pengisian menarik. Selain penginapan di Concorde Madinah, pelanggan pakej juga dapat mengerjakan umrah bersama Pok Ya Congcodei, menyertai majlis khatam al Quran di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah serta majlis tahlil,” katanya pada sidang media di majlis MoU antara Richworld Travel, Kazai Inovative dan Sabri Yunus.


Mohd Radzuan berkata, tempoh pelantikan Sabri Yunus selaku duta berkuat kuasa setahun dan proses perbincangan mengenai pelantikan dilakukan Februari lalu.


“Pemilihan ini tepat kerana Sabri melalui watak Pokya Cong Codei mencetuskan fenomena luar biasa sejak ditayangkan di stesen televisyen swasta, baru-baru ini. Banyak pihak cuba untuk bersama Sabri Yunus tetapi kami menjadi pilihannya,” katanya.  


Mengulas kolaborasi bersama Kazai Innovative, Mohd Radzuan berkata, ia bertujuan mempromosikan Halal Travel di Malaysia dengan menumpukan kepada pelancongan Islam, lawatan ke industri halal dan latihan berkaitan halal di Malaysia.


Sementara itu, Sabri Yunus berkata, beliau tidak menyangka dilantik menjadi duta syarikat tersebut.       dan akan beri sepenuh komitmen kepada syarikat berkenaan.


Katanya, jenama Pokya Cong Codei menjadi tular dan ia digunakan pelbagai jenis perniagaan seperti pakaian dan topi.


“Saya tidak ada masalah mereka menggunakan jenama tersebut kerana ia membantu mempromosikan Pokya Cong Codei,” katanya.


Bagaimanapun, beliau mempatenkan jenama itu sebulan lalu supaya tidak disalahgunakan oleh mereka yang menjalankan perniagaan dengan kapasiti yang besar.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]