Pas yakin tiada lagi Adun lompat parti

in Politik by


SHAH ALAM – Pas Selangor yakin tiada lagi Adun daripada parti Islam itu akan keluar parti menyertai PKR dan parti-parti lain.


Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, dakwaan mengatakan terdapat Adun Pas di negeri ini akan keluar parti adalah tidak benar.


“Saya yakin tidak ada lagi Adun Pas Selangor yang akan menyeberangi ke PKR atau parti-parti lain.


“Oleh itu, dakwaan bahawa terdapat Adun Pas yang akan keluar parti adalah tidak benar sama sekali,”katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau Adun Pas Selangor kini bersemangat untuk menghadapi PRU14.


Dalam pada itu beliau berkata, kesan perpindahan Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman adalah terhad kepada kawasan tersebut sahaja.


Katanya, ia tidak akan memberi kesan yang besar kepada Pas di kawasan-kawasan lain di negeri ini.


“Jentera Pas di kawasan bergerak seperti biasa. Saya yakin Pas akan dapat mempertahankan kerusi Paya Jaras.


“Bagaimanapun sebagai Naib Presiden yang ditugaskan untuk memantau Negeri Selangor saya akan meminta Pas Selangor mengemukakan satu laporan lengkap mengenai kemasukan Adun Paya Jaras ke dalam PKR,”katanya.


Beliau berkata, penyertaan Adun Paya Jaras ke dalam Pakatan Harapan (Harapan) akan menimbulkan konflik dalaman kepada Harapan.


Jika bekas Adun Paya Jaras itu dicalonkan semula maka katanya, Amanah akan kehilangan kerusi di kawasan tersebut.


“Ini bermakna calon Amanah yang bercita-cita untuk bertanding di situ akan kecewa. Krisis akan tercetus dan boleh merebak ke tempat-tempat lain,”katanya.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]