Pemuda Umno Batu Pahat buat laporan polis

in Edisi by


BATU PAHAT – Pemuda Umno Bahagian Batu Pahat membuat laporan polis berkaitan tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu memasang kain rentang berunsurkan hasutan dan provokasi.


Ketua Pemudanya, Razmi Ismail berkata, dia dihubungi kenalannya berkaitan kain rentang berkenaan yang menyatakan ketua bahagian mereka tidak perlu dipilih untuk menjadi wakil rakyat lagi dalam PRU14.


Menurutnya, pihaknya dan juga pimpinan Umno bahagian mengharapkan pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan mahukan tindakan undang-undang setimpal dapat diambil.


“Saya diberitahu yang kain rentang ini dipasang di empat lokasi di sekitar daerah ini dan ia tindakan yang kurang bijak oleh mereka yang melakukannya.


“Diharapkan polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Senggarang.


Terdahulu Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui wujud pihak yang tidak berpuas dengannya dan memasang kain rentang berkenaan.


“Saya tidak menolak kemungkinan ada mereka yang cuba melobi untuk menjadi calon yang melakukannya namun mengharapkan tindakan sewajarnya dikenakan kepada pelakunya,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]