Percubaan berani 'Mr Turtle'

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Perkhidmatan badut di Terengganu boleh dikatakan agak asing kerana jarang-jarang dilihat dan masyarakat di sini agak kurang didedahkan sebelum ini.


Tetapi siapa sangka, percubaan berani Muhammad Ridzuan Roslan, 22, atau Mr Turttle meneroka secara solo pasaran di negeri ini membuahkan hasil sehingga wujudnya servisbadut.com.


Menariknya, anak muda berwawasan tinggi ini menimba pengalaman yang berliku, sebelum berjaya hingga ke tahap ini.


Dek kerana minatnya yang mendalam dalam bidang ini, dia bermula secara kecil-kecilan dengan menjual belon di pasar malam, sambil membuat persembahan silap mata bermula pada tahun 2009.


“Masa itu, tiada lagi permintaan untuk persembahan. Tapi saya minat dengan magik atau silap mata dan menghiburkan orang. Dari situ, saya mula bina keyakinan diri dengan berdepan dengan orang ramai dan berinteraksi dengan mereka.

Menjadi tumpuan dimana-mana sahaja.


“Saya kemudiannya pindah ke Kuala Lumpur pada tahun 2013 dan bekerja sebagai badut di sana. Saya kumpul pengalaman dan modal, sebelum ambil keputusan balik ke Terengganu pada akhir tahun 2016.


“Selepas itu, saya mula bergerak secara solo bermula awal tahun lalu dan hasil usaha keras, saya kini menubuhkan syarikat sendiri iaitu Big Job Entertainment atau lebih dikenali dengan servisbadut.com,” katanya kepada Sinar Harian.


Sedih bila ada yang menghina


Jelas Ridzuan, sewaktu mula berkhidmat di Terengganu, dia memulakan khidmat maskot dan pakaian adiwira bagi menarik perhatian orang ramai.


Hasil daripada promosi di media sosial dan dari mulut ke mulut, perkhidmatannya makin berkembang dan dia mula menerima perkhidmatan secara berkumpulan dan kini mempunyai 10 pekerja sambilan dibawahnya.

Memeriahkan majlis sambutan hari jadi.


“Memang pada mulanya bisnes agak lambat sebab orang kita kurang terdedah dengan perkhidmatan sebegini. Tapi bila sudah dikenali dan ramai orang suka, permintaannya makin meningkat.


“Tapi adatlah asam garam hidup, tidak semua orang sukakan kita. Paling sedih, bila orang hina kerja yang saya lakukan. Mungkin dia tidak boleh terima, sedangkan saya mencari rezeki yang halal, bukannya mencuri.


“Tapi, kutukan sebeginilah yang banyak menguatkan semangat saya. Rasa ‘down’ pada mulanya tapi saya anggap itu sebagai cabaran untuk saya. Biarlah apa orang nak kata, asalkan saya bekerja dengan usaha dan kudrat saya sendiri,” katanya.


Ingin terus gembirakan orang


Selain mengambil tempahan persendirian, dia turut menerima tempahan perkhidmatan daripada syarikat korporat, kerajaan negeri dan syarikat swasta untuk pelbagai jenis majlis.


Jelas Ridzuan, biasanya dia dipanggil untuk memeriahkan majlis hari jadi, perkahwinan, majlis makan malam, ekspo dan majlis-masjlis persendirian yang memerlukannya memakai kostum dan membuat persembahan silap mata.

Persembahan yang dilakukan di Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu.


“Selain saya, rakan-rakan yang lain akan turut membuat persembahan secara giliran  dan mengikut kelapangan kerana kesemua mereka ada kerja tetap yang lain, hanya saya yang sepenuhnya bekerja sebagai badut.


“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sambutan kini sangat baik. Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga sudah boleh menerima dan turut teruja untuk turut sama sertai aktiviti dan ambil gambar bersama,” katanya.


Ketika ditanya sampai bila dia ingin bekerja sebagai badut, Ridzuan sambil tersenyum berkata: ‘Saya suka melihat orang gembira dan akan terus menggembirakan mereka.’


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]