‘Perubahan di tangan anda’

in Politik by


SHAH ALAM – Rakyat perlu membuat perubahan agar mana-mana kerajaan yang mentadbir ialah kerajaan yang takut kepada rakyat.


Sehubungan itu, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rakyat digesa memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara.


Menurutnya, Harapan sedia dihukum sekiranya gagal menjadi kerajaan yang baik.


“Tolonglah, perubahan di tangan anda semua. Kita dah dalam kerajaan Umno-BN lebih 60 tahun, beri kami peluang dan kalau kami gagal, hukumlah kami pada PRU seterusnya.


“Jika kami menang dan gagal untuk tunaikan janji, rakyat tahu bila-bila masa boleh singkirkan kerajaan. Kerajaan akan datang ialah kerajaan yang takut kepada rakyat,” katanya dalam siri debat Sinar Harian bertajuk ‘Apa Pilihan Anak Muda: BN atau Pakatan Harapan?’, di sini, semalam.


Selain Syed Saddiq, debat itu turut menampilkan Exco Pemuda Umno, Mohd Ar Rahman Hussin, manakala personaliti dan hos terkenal, Amin Idris bertindak selaku moderator.


Menurut Syed Saddiq, perubahan boleh direalisasikan melalui reformasi institusi demokrasi.


“Susah untuk kita maju kalau sistem semak imbang itu tidak betul. Kita perlu hentikan pemusatan kuasa.


“Berikan semula kuasa kepada rakyat dan kita angkat suara rakyat di setiap lapisan pentadbiran negara. Kita ada calon umur 25 tahun dan kita juga pastikan mereka yang berpengalaman kongsi ilmu mereka dengan anak-anak muda,” katanya.


Beliau berkata, rakyat ketika ini sangat memerlukan Malaysia yang baharu.


“Mungkin kita akan gagal, mungkin kita akan berjaya tetapi sekurang-kurangnya kita cuba sebaik mungkin,” katanya.


Sementara itu, Amin dalam ucapan pembukaan debat berkata, demokrasi adalah terjemahan daripada ‘by the people, from the people and for the people’ (oleh rakyat, daripada rakyat dan kepada rakyat).


“Bukannya ‘buy the people, from the people and force the people’ (beli rakyat, daripada rakyat dan paksa rakyat). Pilihan raya adalah manifestasi, bukan sekadar hak, tetapi tanggungjawab seorang rakyat seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]