Pilih pemimpin dengan bijak: Idris

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Pengundi perlu menggunakan pilihan mereka dengan bijak dan memilih pemimpin yang sentiasa memberi keutamaan kepada usaha menjaga kebajikan rakyat.


Ketika membuat gesaan ini, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, dalam konteks ini, pencapaian terdahulu, jasa serta khidmat yang diberikan seseorang itu perlu dijadikan pengukur oleh pengundi.


Pada masa sama, katanya, mereka juga perlu melihat kepada kepimpinan yang dibawa parti serta faedah yang akan mereka peroleh sekiranya parti berkenaan diberi mandat.


“BN bekerja siang malam untuk membantu rakyat dalam semua aspek kerana kita mahu melihat rakyat selesa dan menikmati kejayaan yang dicapai negara.


“Bagaimanapun, pembangkang berlainan pula. Mereka cakap tidak serupa bikin. Sebab itu pengundi mestilah bijak menilai mainan politik mereka ini,” katanya di sini.


Dalam perkembangan berkaitan, Idris berharap pengundi di negeri ini tidak akan terpengaruh dengan strategi pembangkang menurunkan calon muda sebagai usaha menarik sokongan pengundi.


Menurutnya, tindakan sedemikian boleh dilihat sebagai satu tindakan terdesak untuk menarik sokongan, terutama dari pengundi muda.


“Kita tidak bimbang dengan tindakan mereka ini kerana kita ada strategi kita sendiri, lebih-lebih lagi kerana parti kita adalah jauh lebih stabil daripada mereka.


“Kita tidak melaksanakan strategi sebegini tetapi kita lebih mengutamakan calon yang berintegriti dan berwibawa untuk mewakili BN,” katanya.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]