PRM tak mahu jadi pemecah undi

in Politik by


GEORGETOWN – Bukan masuk sebagai pemecah undi sebaliknya bertindak sebagai parti yang membawa suara rakyat daripada semua golongan.


Itu hasrat utama Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang akan bertanding pada PRU14 ini.


Setiausaha Agung PRM, Koh Swe Yong berkata, PRM masuk ke gelanggang PRU14 ini semata-mata mahu membawa suara golongan masyarakat pelbagai lapisan.


“Ada dakwaan negatif dalam kalangan pihak tertentu mengatakan kami ini diberi dana, menjadi pemecah undi dalam PRU14, saya tegaskan semua dan segala dakwaan ini tidak benar.


“PRM sendiri terus terang saya katakan kami tidak mempunyai dana yang banyak sebaliknya masuk bertanding semata-mata mahu membela rakyat dan itu menjadi prinsip dan asas utama penubuhan PRM itu sendiri sebagai sebuah parti rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman calon PRM untuk PRU14 di Bagan, siang tadi.


Dalam majlis itu juga, PRM mengumumkan akan bertanding di 18 kerusi Dun dan empat kerusi Parlimen di negeri ini.


“Empat kerusi Parlimen iaitu Azman Shah Othman (Tasek Gelugor); Pengerusi PRM, Tan Hiang Lye (Batu Kawan); Tan Lay Hock (Bagan) dan Samsuddin Yacob (Nibong Tebal).


“Manakala untuk kerusi Dun adalah Omar Mahmud (Penaga); Lee This Hong (Teluk Ayer Tawar); Tan Lay Hock (Sungai Puyu); Teoh Huck Ping (Bagan Jermal); Teoh Chai Deng (Bagan Dalam); Song Chee Meng (Berapit); Tang Ah Ba (Machang Bubok); Lai Yean Nee (Padang Lalang); M Samuganathan (Prai); Goh Bee Khoon (Bukit Tambun); Tan Che Suan( Jawi); Tan Chow Kang (Sungai Bakap); Adam Chew (Pengkalan Kota); Chua Cheong Wee (Tanjung Bungah) dan Yeoh Cheng Huat (Bayan Lepas).


“Azman Shah, Hiang Lye, Lay Hock dan Samsuddin akan turut bertanding di kerusi Dun iaitu Permatang Berangan, Sungai Puyu, Bukit Tengah dan Sungai Acheh,” katanya.


Jelasnya ada di antara kerusi ini merupakan kubu kuat PKR dan DAP namun bagi PRM sendiri, ia bukan satu masalah besar bagi pihaknya.


“Matlamat kami jelas adalah membawa suara rakyat dan berhasrat mahu menjadi parti pemerintah.


“Kami juga tidak menjadi proksi kepada mana-mana parti dan mahu menjadi suara kepada rakyat andai kata diberi mandat di negeri ini,” katanya.


Dalam pada itu, Hiang Lye berkata, isu tempatan akan menjadi fokus utama PRM untuk bertanding di Pulau Pinang ini.


“Antara isu yang menjadi keutamaan adalah berkaitan perumahan, masalah berkaitan sampah dan beberapa isu tempatan lain,” katanya.


Hadir sama dalam majlis itu, Presiden PRM, Arifin Salimun, kepimpinan dan ahli PRM sendiri.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]