Rasah semakin melonjak maju

in Politik by


RASAH adalah sebuah bandar yang terletak dalam mukim Seremban dan mempunyai jarak tiga kilometer dari pusat bandar.


Rasah pada asalnya sebuah perkampungan tradisional dan berkembang menjadi kawasan ekonomi penting pada abad ke-18, kerana menjadi kawasan perlombongan bijih timah.


Malah Rasah pernah menjadi perhentian penting bagi laluan perdagangan bijih timah melalui Sungai Linggi yang menghubungkan Sungai Ujong hingga ke Kuala Linggi.


Kawasan Rasah kini dikenali sebagai Bandar Rasah, terdiri daripada beberapa kampung baharu, kampung tradisi dan lebih 50 taman perumahan. Rasah telah mengalami banyak perubahan infrastruktur dengan terbinanya Lingkaran Tengah Seremban, yang melalui jalan utama Rasah.


Ia juga telah mengurangkan kesesakan trafik yang berlaku sejak 1997 akibat pertambahan kenderaan kerana berlaku pertambahan penduduk sekitar Rasah yang kini pesat membangun.


Terletak bersebelahan Parlimen Seremban, menjadikan Parlimen Rasah sebagai salah satu tumpuan pembangunan di daerah Seremban.


Jumlah pengundi seramai 99,040 orang menjadikan P130 Rasah, Parlimen kedua paling ramai pengundi selepas Seremban di Negeri Sembilan.


Parlimen Rasah mempunyai lima Dun iaitu N20 Labu, N21 Bukit Kepayang, N22 Rahang, N23 Mambau dan N24 Seremban Jaya.


Daripada lima itu, hanya Dun Labu sahaja dimenangi oleh BN, manakala selebihnya adalah milik DAP.


PRU13 lalu menyaksikan DAP, melalui calonnya Teo Kok Seong menguasai Parlimen Rasah dengan majoriti besar, 23,485, yang menewaskan calon BN, Teo Eng Kian.


Jumlah majoriti yang cukup besar ini menunjukkan BN perlu bekerjasama lebih kuat untuk mendapatkan kembali kerusi Parlimen tersebut.


DAP berjaya mengekalkan kerusi di Parlimen ini sejak dua penggal lalu dan MCA masih lagi menaruh harapan agar kerusi parlimen ini jatuh ke tangan BN pada PRU14.


Pada PRU14, DAP telah mengumumkan penyandang Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin akan menggantikan Kok Seong bertanding di Parlimen Rasah, manakala MCA pula masih berteka-teki.


Walaupun terdapat individu yang kini semakin menonjolkan diri di Parlimen ini sejak setahun lalu, namun masih tiada pengumuman lagi dibuat sehingga semalam.


Yang pasti calon BN yang akan bertanding di kerusi Rasah ini perlu merupakan seorang yang betul-betul diterima rakyat dan akar umbi, selain perlu bekerja lebih kuat bagi memastikan misi untuk merampas Rasah berjaya dicapai.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]