SSM keluar panduan laporan aktiviti khidmat sosial syarikat

in Bisnes by


SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) menerbitkan ‘Laporan Ulasan Perniagaan: Panduan Penzahiran dan Pelaporan’.


Ia bertujuan menjadi panduan epada syarikat di Malaysia dalam melaporkan aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan syarikat.


Penerbitan buku ini selaras dengan pengenalan Seksyen 253(3) Akta Syarikat 2016 (AS2016), bertujuan menggalakkan penzahiran tanggungjawab sosial dalam bentuk Laporan Ulasan Perniagaan.


SSM dalam kenyataan media memberitahu, Seksyen 253(3) AS2016 memperuntukkan agar Laporan Ulasan Perniagaan dilampirkan sebagai sebahagian daripada Laporan Pengarah dalam Penyata Kewangan yang diserahsimpan di SSM dan kandungannya adalah termasuk perkara yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kelima AS2016.


Katanya,  panduan berkenaan  terbahagi kepada tiga bahagian iaitu, pertama; memberi penerangan berhubung penzahiran tanggungjawab korporat di Malaysia dan bagaimana agenda tanggungjawab korporat SSM serta AS2016 menyumbang kepada penggalakan inisiatif tanggungjawab korporat bagi kesemua jenis syarikat di Malaysia; bahagian kedua menjelaskan berkenaan gambaran keseluruhan, objektif, dan manfaat yang diraih daripada pelaporan ulasan perniagaan serta memberikan panduan dalam menyediakan laporan ulasan perniagaan; dan bahagian ketiga menyediakan contoh laporan secara keseluruhan dengan memfokuskan kepada pelaporan dua isu iaitu mengenai isu-isu alam sekitar di dalam perniagaan serta hak asasi manusia di dalam perniagaan.


Walaupun pematuhan terhadap penyediaan dan pengemukaan Laporan Ulasan Perniagaan di bawah Akta tersebut ialah secara sukarela, SSM percaya ia akan memberi nilai tambah ke atas pelaporan korporat ke arah mencapai kemapanan perniagaan serta bersifat lebih telus berkenaan cabaran yang dihadapi.


Ini kerana polisi, komitmen, inisiatif serta jenis tindakan yang diambil atau yang akan diambil bagi mencegah kemungkinan impak hak asasi manusia ke atas operasi perniagaan boleh dizahirkan melalui laporan tersebut.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]